'Tak sempat merasa air tangan ayah'

Semasa kejadian di gelanggang futsal tersebut. Gambar kecil: Mohd Ezani
Semasa kejadian di gelanggang futsal tersebut. Gambar kecil: Mohd Ezani
A
A
A

KOTA BHARU - “Saya tak sempat merasa kuih onde-onde air tangan ayah,” demikian luah Siti Nor Ain Mohd Ezani, 26, anak kepada Mohd Ezani Abd Hamid yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung selepas bermain futsal malam tadi.

Siti Nor Ain yang bekerja di Gombak memberitahu, arwah ayahnya sempat bergurau dengannya pada awal Ramadan lalu dengan bertanyakan adakah onde-onde di Kuala Lumpur boleh menandingi onde-onde yang dibuat dia dan isteri.

“Saya jawablah tiada yang lebih sedap berbanding air tangan emak dan ayah. Arwah ayah hanya gelak sahaja.

“Tak sangka ia gurauan terakhir... pemergian arwah ayah memang mengejutkan kami sekeluarga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Siti Nor Ain tiba di Kota Bharu pagi ini selepas dimaklumkan berita tersebut oleh ibunya semalam.

Mohd Ezani atau lebih dikenali dengan panggilan Jani Robert, 49, berasal dari Kampung Cempaka merupakan kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan sangat aktif bermain bola sepak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, Jani Robert dikatakan keluar bermain futsal bersama rakan-rakannya di gelanggang Arena Futsal Pengkalan Chepa selepas menunaikan solat tarawih.

Arwah dikatakan penat selepas 10 minit bermain dan mengambil keputusan untuk keluar gelanggang dan berbual dengan rakan-rakan lain.

Artikel Berkaitan:

Namun, ketika berbual, tiba-tiba arwah sesak nafas dan rebah, dia kemudiannya dipangku rakan-rakan sebelum tidak sedarkan diri.

Menurut salah seorang rakannya, Zulhanifa Sidek, arwah merupakan seorang yang aktif bersukan.

"Semasa hayatnya, arwah tak lokek ilmu dan selalu berkongsi ilmu memandangkan beliau seorang pengadil.

“Saya sangat terkejut dimaklumkan dengan berita ini. Saya harap seluruh keluarganya bersabar dengan ketentuan ALLAH SWT dan mendoakan yang terbaik buat arwah, Insya-ALLAH,” katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu di tempat kejadian dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cempaka, 11 pagi tadi.