Denda RM1.56j tertinggi dalam sejarah hidupan liar negara

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang mendenda dua pemburu haram warga Vietnam RM1.56 juta setiap seorang, adalah jumlah tertinggi pernah dikenakan untuk jenayah hidupan liar dalam sejarah negara, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Mengulas keputusan mahkamah itu pada Rabu yang turut memerintahkan dua pemburu haram warga Vietnam dipenjara dua tahun, Dr Xavier yang menyambut baik keputusan itu berkata, ia membuka harapan baharu dalam usaha kementerian untuk memerangi jenayah terhadap hidupan liar.

Kementerian akan terus memperhebatkan usaha memerangi jenayah hidupan liar dan anasir yang membawa kemusnahan terhadap hidupan liar dan sumber alam Malaysia terutamanya pemburuan haram terhadap haiwan yang terancam, katanya.

"Pemburu haram adalah pengkhianat negara dan tiada tempat untuk mereka di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berharap hukuman terhadap dua warga Vietnam itu dapat menjadi penghalang kepada mereka yang mempunyai niat jahat untuk menganiayai hidupan liar demi keuntungan diri sendiri.

Dua warga Vietnam itu mengaku bersalah terhadap 20 pertuduhan di bawah empat seksyen dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memiliki jerat dan menyimpan hidupan liar dilindungi sepenuhnya.

Mereka ditahan dalam operasi "Ops Belang” di Taman Negara Terengganu pada 15 April tahun ini.- Bernama

Artikel Berkaitan: