X

Kindly register in order to view this article
!

Pas ibarat berdepan ‘bom jangka’

Mahfuz Omar
A
A

ALOR SETAR - Isu kartel dedak yang dibangkitkan menantu Presiden Pas, Zaharudin Muhammad ibarat ‘bom jangka’ yang kembali dihidupkan setelah sekian lama.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendedahan berani Zaharudin yang juga bekas ahli Majlis Syura Ulama Pas berhubung wujudnya kumpulan atau kartel dedak, menggambarkan Pas kini berdepan ‘bom jangka’ yang bakal meletup pada bila-bila masa.

Menurutnya, mana-mana pihak tidak seharusnya menyekat tindakan Zaharudin yang mendedahkan ‘rahsia’ melibatkan pihak tertentu dalam mengawal selia dan menguasai kepimpinan parti itu.

“Sebagai bekas pimpinan Pas, saya andaikan apa dilakukan Zaharudin itu sebagai usaha beliau mahu membersihkan Pas daripada sifat munafik kalangan pemimpin dan partinya,” katanya.

Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden Pas percaya kebenaran harus ditegakkan dalam usaha membersihkan parti daripada pemimpin yang dikaitkan dengan skandal dedak.

“Belum pun padam isu kerajaan perpaduan (UG) yang dicetuskan segelintir pimpinan Pas sehingga menyebabkan perpecahan dalaman pada 2015, rupa-rupanya ada asas lain yang menyebabkan berlakunya UG ini, iaitu habuan politik atau dedak oleh segelintir pimpinan Pas,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah parti yang mendakwa membawa inspirasi Islam, amat malang untuk parti itu mempunyai segelintir pimpinan yang menggerakkan parti ditentukan oleh dedak.

“Dedak seolah menentukan hala tuju perjuangan politik Pas dalam arena politik negara. Saya ucapkan syabas buat Zaharudin yang berani tampil mempertahankan tindakannya selepas pendedahan itu, walaupun diberi amaran oleh Setiausaha Agung Pas melarangnya berbuat demikian,” katanya.

Mahfuz berkata, sikap terpuji seperti itu wajar dimiliki ahli Pas lain dalam menegakkan kebenaran selain memastikan kesucian perjuangan organisasi.

“Ia juga bagi memastikan mereka yang terlibat dalam salah laku komplot dedak dinyahkan dari parti. Saya ingin sarankan kepada rakan-rakan saya dalam Pas agar tidak lagi membiarkan diri mereka menjadi ‘ayam dedak’ hanya tunggu dan terima taburan dedak, kemudian ditangkap untuk disembelih pimpinan parti, sudah jelas pimpinan parti mereka sudah tiada integriti,” katanya.

Menurutnya, ahli Pas perlu tekad untuk tidak lagi membiarkan diri dijadikan tongkat bagi menjulang UMNO, untuk kembali berkuasa melalui dedak ditabur pimpinan parti itu demi kepentingan diri, bukannya perjuangan parti.