Guna wang palsu, pegawai kerajaan dipenjara lima tahun

Tertuduh ketika hadir di Mahkamah diiringi pegawai penjara dan polis.
Tertuduh ketika hadir di Mahkamah diiringi pegawai penjara dan polis.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang pegawai kerajaan dijatuhkan hukuman penjara secara serentak selama lima tahun di atas dua pertuduhan menggunakan wang palsu di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini hari ini.

Hakim, Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas Mas Fadila Senin, 34, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan tersebut menggunakan wang palsu sebagai tulen.

Tertuduh yang hadir diiringi pegawai penjara dan polis tiba pekarangan mahkamah jam 9 pagi bagaimanapun kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 24 September 2018 jam lebih kurang 9 malam di sebuah kedai gajet di Bahau, tertuduh didapati menggunakan wang palsu sebagai tulen iaitu sekeping not RM100.

Oleh demikian tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 489 B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 29 September 2018 lebih kurang jam 3.10 petang telah didapati menggunakan wang palsu sekeping not RM100 di bengkel motosikal di Taman Cempaka Bahau.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah seksyen dan hukuman yang sama dengan pertuduhan pertama.

Tertuduh kemudiannya mengemukakan rayuan dengan alasan menanggung seorang anak lelaki yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama lima tahun untuk setiap kesalahan.

Hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh di tangkap 24 Oktober 2018.