Gagal tunai janji, PTPTN tak boleh paksa peminjam

Nor Hariri Mohd Noor
Nor Hariri Mohd Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun tidak mampu menunaikan janji menghapuskan hutang, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak sepatutnya memaksa peminjam dengan cuba mengenakan kembali sekatan melibatkan pasport, cukai dan lesen perniagaan.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Nor Hariri Mohd Noor berkata, terbukti janji yang ditaburkan sebelum memenangi PRU14 hanyalah angan-angan kosong untuk menyedapkan hati pengundi, terutamanya golongan muda yang hampir percaya seratus peratus dengan janji tersebut.

“Ini berbeza dengan kaedah kerajaan BN terdahulu yang bersifat mendidik, hanya menyekat perjalanan ke luar negara dan menerima pembayaran berjadual yang dipersetujui kepada peminjam.

“Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah janji untuk penghapusan hutang tersebut tidak dibuat, malah dikenakan lagi sekatan yang tentunya akan menyulitkan lagi keadaan peminjam yang rata-ratanya anak muda,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan PTPTN untuk mengenakan kembali sekatan perjalanan ke luar negara melibatkan peminjam yang gagal membayar hutang, malah ia turut ditambah dengan sekatan untuk memperbaharui lesen perniagaan, cukai dan sebagainya.

Menurutnya, inilah harga yang perlu dibayar oleh anak muda terhadap kesilapan memilih pemimpin berdasarkan janji populis dan emosi semata-mata.

Beliau berkata, memang hutang wajib dibayar dan tiada pertikaian tentang ini kepada peminjam, cuma kerajaan PH selaku ‘pemberi janji’ juga perlu melunaskan hutang mereka kepada rakyat iaitu janji untuk menghapuskan perkara itu jika diberi mandat membentuk kerajaan.

“Anak-anak muda yang teruja dengan janji manis ini telah ditipu hidup-hidup oleh kerajaan PH yang langsung gagal menunaikan manifesto mereka.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap agar menteri yang terlibat supaya dapat menyuarakan rasa hati anak muda yang ditipu ini di dalam Kabinet. Buktikan bahawa kamu bukanlah boneka DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merangka segala janji populis demi meraih undi anak muda dalam pilihan raya lepas.

“Sekali lagi saya menyeru agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat perkara ini dengan lebih serius, rombakan Kabinet amat diperlukan terutamanya di Kementerian Kewangan dan Kementerian Belia dan Sukan dengan menukar watak yang dipercayai oleh rakyat," katanya.

Jelasnya, seruan ini dibuat bagi memastikan dasar dan kebajikan anak-anak muda terjamin di negara ini.