Hidayah Centre Foundation anjur iftar bersama saudara baharu


Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre.
Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre.
A
A
A

SHAH ALAM - Badan pertubuhan bukan kerajaan, Hidayah Centre Foundation (HCF) akan menganjurkan Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) bersama saudara baharu yang dijadualkan berlangsung di Dewan Kristal TM Convention Centre Kuala Lumpur, 25 Mei depan.

Pengarah Projek MIPHC, Abdul Ghaffar Muhamad Sharif berkata, majlis iftar itu merupakan penganjuran kali ke-15 yang diadakan setiap tahun bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi pengurusan saudara baharu, kos pengoperasian serta perbelanjaan dalam usaha menjayakan program dakwah khusus kepada bukan muslim.

Beliau berkata, MIPHC juga bertujuan membuka ruang kepada masyarakat umum untuk meraikan saudara baharu serta keluarga mereka yang berpuasa di bulan Ramadan.

Di samping itu katanya, usaha ini merupakan salah satu sokongan spiritual kepada saudara baharu agar terus bersemangat mempelajari serta mengamalkan ajaran Islam.

“MIPHC juga akan mempertemukan golongan saudara baharu bagi meluaskan jaringan perkenalan sesama mereka. Ini membantu mereka bertukar-tukar pengalaman dan ilmu pengetahuan bagi menghadapi cabaran hidup sebagai seorang mualaf,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Ghaffar (kanan) bersama poster Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) bersama saudara baharu yang dijadualkan berlangsung di Dewan Kristal TM Convention Centre Kuala Lumpur, 25 Mei depan.
Abdul Ghaffar (kanan) bersama poster Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) bersama saudara baharu yang dijadualkan berlangsung di Dewan Kristal TM Convention Centre Kuala Lumpur, 25 Mei depan.

Abdul Ghaffar berkata, majlis yang bertemakan ‘Sebarkan Rahmah, Santuni Ummah’ akan menampilkan artis popular, Faizal Tahir.

Katanya, orang ramai atau syarikat korporat yang sudi menyumbang boleh melakukan pembelian kerusi atau meja untuk majlis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Maklumat lanjut berkenaan program boleh melayari laman sesawang www.hidayahcentre.org.my atau laman Facebook, Hidayah Centre Foundation atau hubungi talian 03-41089669 atau WhatsApp 0134668794,” katanya.

Sedekah Ramadan
Sedekah Ramadan

Dalam pada itu Abdul Ghaffar berkata, HCF juga melakukan kempen Sedekah Ramadan sepanjang bulan mulia ini untuk orang ramai berkongsi pahala dengan usaha-usaha dakwah terhadap bukan muslim dan saudara baharu ini dengan memberikan sumbangan seberapa yang mampu.

“Program Sedekah Ramadan ini membolehkan sesiapa sahaja membuat sumbangan, seberapa ringgit sekalipun di mesin ATM atau atas talian dan boleh ke laman sesawang www.dahsedekah.com,” katanya.

HCF ialah sebuah institusi yang berfungsi menguruskan hal ehwal saudara baharu dari aspek bimbingan agama, sokongan emosi, bantuan kewangan, khidmat kaunseling dan pembangunan jati diri mereka di samping melaksanakan program dakwah kepada masyarakat belum Islam.