Lompat parti, jejas amalan demokrasi

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Lompat parti secara beramai-ramai dilihat sebagai fenomena tidak sihat yang boleh menjejaskan amalan demokrasi di Malaysia.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, jika semua orang mahu menjadi kerajaan, maka keseimbangan antara pembangkang dan kerajaan dalam sistem demokrasi boleh terjejas.

Menurutnya, amalan lompat parti ini juga mempamerkan betapa rapuhnya ideologi perjuangan politik seseorang yang telah diberikan mandat oleh rakyat.

“Mereka meninggalkan parti dengan macam-macam alasan. Antaranya seperti hilang kepimpinan. Kalau hilang kepimpinan, kenapa tidak tinggalkan sebelum PRU? Sebelum PRU pun kita tahu parti mereka sudah rosak.

“Apabila mereka tak tinggalkan parti itu sebelum pilihan raya, itu menunjukkan mereka pada ketika itu mereka masih percaya parti mereka akan terus menang. Sepatutnya mereka bertanggungjawab untuk sama-sama bangunkan parti. Bukan meninggalkannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang lebih 20 tahun menjadi pembangkang mengakui amat memahami perih jerih menjadi wakil rakyat pembangkang.

Katanya, jika seseorang wakil rakyat tidak tahan menjadi pembangkang, ini menjadi suatu kekesalan kerana rakyat telah memberikan sokongan kepada mereka.

“Saya tahu macam mana susahnya jadi pembangkang. Tapi kalau kita yakin, kita tidak akan terpengaruh dan terpedaya dengan nak jadi kerajaan. Kita ada ideologi perjuangan.

Artikel Berkaitan:

“Seperkara lagi, apabila keadaan ini berlaku, ia melemahkan pembangkang. Apabila melemahkan pembangkang dia menunjukkan keseimbangan itu tidak bagus dalam sistem demokrasi berparlimen. Pembangkang dan kerajaan ada peranan. Jika semua dalam kerajaan pembangkang akan jadi lemah. Itu menunjukkan betapa tidak sihatnya politik tanah air kita,” katanya.

Dalam pada itu beliau bersyukur PKR tidak membuat ketetapan untuk semudahnya menerima individu yang melompat parti.

Menurutnya, tindakan tersebut sedikit sebanyak akan mengurangkan kepercayaan orang lain kepada PKR sekiranya berbuat demikian.

“Jika semata mata untuk menambahkan jumlah ahli parlimen itu adalah strategi yang tidak baik dan tidak mengukuhkan prinsip-prinsip demokrasi,” katanya.