Kes Najib, Rosmah kemuncak kes mahkamah 2018

image
image
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor atas tuduhan berkaitan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram menjadi kemuncak dalam kes mahkamah pada 2018.

Najib, 65, dikenakan beberapa pertuduhan, termasuk yang begitu kontroversi dan mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Beliau dihadapkan ke mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sekurang-kurangnya empat kali bagi menghadapi perbicaraan mulai Julai tahun ini.

Rosmah, 67, pertama kali dikenakan 17 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta pada Oktober dan dihadapkan sekali lagi ke mahkamah dua bulan kemudian bagi menghadapi pertuduhan rasuah melibatkan RM187.5 juta berkaitan projek bekalan elektrik ke sekolah di Sarawak.

Najib dan Rosmah bagaimanpun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu.

Mahkamah di Jalan Duta juga menjadi tumpuan ramai apabila beberapa tokoh berprofil tinggi lain, termasuk bekas menteri, dikenakan pertuduhan berkaitan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Tahun 2018 turut menyaksikan Mahkamah Persekutuan memberi keputusan yang pertama kali seumpamanya dalam sejarah negara ini berhubung penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara unilateral.

Satu lagi penghakiman bersejarah oleh mahkamah tertinggi di negara ini ialah dalam kes Gin Poh Holdings lwn Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan lima yang lain, apabila Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi boleh mendengar cabaran melibatkan perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Kes itu juga mencatat rekod di mana Mahkamah Persekutuan pertama kali menangguhkan pengumuman keputusannya, walaupun panel hakim sudah bersedia dengan keputusan mereka. Kes berkenaan melibatkan rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua perintah terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf boleh dibinkan dengan nama bapanya, bukan menggunakan "bin Abdullah".

Pada 22 November, panel tiga hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop mengambil pendirian menangguhkan keputusan penghakiman mereka selepas membenarkan permohonan kerajaan agar keputusan itu ditangguhkan bagi membolehkannya menyelesaikan kes seperti itu melalui cara lain.

Kes dua wanita yang dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai setelah mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan cuba melakukan hubungan sejenis di Mahkamah Tinggi Syariah di Terengganu juga menjadi tumpuan orang ramai.

Kes lain yang menghiasi tajuk utama berita termasuk yang melibatkan penderaan fizikal dan seksual kanak-kanak yang diserahkan untuk jagaan pengasuh dan kisah seorang suri rumah yang mengundang kemarahan orang ramai apabila dia dibebaskan dengan bon berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen selepas wanita itu mengaku bersalah mendera pembantu rumahnya pada 2016.

Pendakwaan terhadap Najib menjadi perhatian masyarakat global. Beliau pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada Julai dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna kuasa melibatkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib juga mengaku tidak bersalah terhadap tiga lagi pertuduhan menerima RM42 juta secara haram.

Beliau kemudian dikenakan 25 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan urus niaga berjumlah RM2.3 bilion yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dikenakan enam tuduhan pecah amanah melibatkan dana kerajaan berjumlah RM6.6 bilion.

Sementara itu, beberapa bekas menteri dan presiden UMNO, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meminta dibicarakan terhadap 45 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta dan pecah amanah serta menerima rasuah melibatkan RM42 juta.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula menghadapi tuduhan menerima rasuah RM3 juta daripada pemaju hartanah.

Bekas orang kuat Rosmah, Datuk Rizal Mansor dikenakan empat tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana didakwa meminta wang sebanyak RM212.5 juta dan menerima rasuah berjumlah RM5.5 juta bagi pihak Rosmah serta dirinya berkaitan projek sistem hibrid solar.

Sementara itu, bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid dituduh melakukan pecah amanah melibatkan dana awam berjumlah RM50.4 juta.

Turut menarik perhatian ramai ialah kes peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan pengubahan wang haram.

Tuduhan itu berkaitan bayaran RM9.5 juta yang didakwa diterimanya daripada Najib.

Beliau juga menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Cukai Pendapatan kerana membuat perisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri apabila tidak memasukkan bayaran RM9.5 juta itu dalam perisytiharan pendapatannya bagi tahun berkenaan.

Awal tahun ini, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusannya bagi kes tukar agama melibatkan tiga anak guru tadika M. Indira Gandhi.

Mahkamah itu memutuskan bahawa seseorang ibu atau bapa yang menganut Islam dan pasangannya yang bukan Islam perlu memberi izin kepada anak mereka yang di bawah umur untuk memeluk Islam.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama secara unilateral kepada Islam tiga kanak-kanak itu oleh bapa mereka yang beragama Islam adalah tidak sah dan terbatal.

Baru-baru ini pula, Hazmi Majid, suami kepada seorang pengasuh kanak-kanak, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh bayi berusia 11 bulan, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal.

Pada 28 November, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan diperintah dikenakan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kajang setelah dia mengaku bersalah memasukkan jarinya ke dalam alat sulit bayi itu, yang lebih dikenali dengan nama manjanya, Zara.

Pada September, seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan selepas dia mengaku bersalah mendera seorang bayi berusia 11 bulan dengan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa. Ketika kejadian, bayi berkenaan diletakkan di bawah jagaan seorang pengasuh.

Sementara itu, keputusan Mahkamah Sesyen dalam kes melibatkan Rozita Mohamad Ali, yang mengaku bersalah mendera pembantu rumahnya, menimbulkan ketidakpuasan hati banyak pihak kerana menganggap hukuman yang dikenakan terhadap wanita itu terlalu ringan.

Bagaimanapun, hukuman itu disemak semula Mahkamah Tinggi Shah Alam , yang mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen sebelumnya dan menggantikannya dengan hukuman penjara lapan tahun. Kes itu kini dibicarakan di Mahkamah Rayuan. - Bernama