Wakil rakyat wanita lebih berani

Persidangan Dewan Rakyat - Gambar fail
Persidangan Dewan Rakyat - Gambar fail
A
A
A

RAMAI pengundi di kawasannya rasa kecewa apabila wakil rakyat mereka ini jarang berdiri bertanya soalan dan bersuara menyertai perbahasan di Parlimen.

Mereka mula rasa menyesal mengundinya walaupun nampak beliau cukup rajin ketika berkempen agar diberi sokongan kepadanya.

Merak Jalanan pun perasan keadaan ini kerana beliau agak berat untuk buka mulut bertanyakan soalan atau beri apa-apa cadangan sepanjang sesi di Dewan Rakyat.

Yang Berhormat (YB) ini ialah seorang wanita yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik. Namun beliau melakukan comeback pada PRU14.

Kini sudah setahun dia berkhidmat di kawasan pilihan rayanya.

Apa yang menariknya, ketika beliau dilihat tidak hebat di Parlimen, tetapi apabila bekerja untuk pengundinya, ramai yang cukup teruja.

Beliau dipuji kerana rajin dan tegas.

Pendek kata, prestasinya adalah ketika berkhidmat untuk pengundi dan bukan ketika berucap dalam Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Buktinya, pada bulan lalu, beliau telah berjaya mengarahkan pihak berkuasa tempatan merobohkan sebuah premis yang didakwa telah menjalankan perniagaan di atas tanah kerajaan secara haram sejak 20 tahun yang lalu.

Keberanian YB wanita ini terserlah kerana beliau tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba melindungi kegiatan-kegiatan yang melanggari undang-undang.

Wakil-wakil rakyat sebelum ini (semuanya wakil rakyat lelaki) dikatakan gagal menyelesaikan masalah ini walaupun menerima banyak aduan daripada penduduk setempat.

Setelah premis itu dirobohkan yang turut mendapat liputan di akhbar, ramai pengundinya amat berterima kasih atas usaha YB mereka.

Ada juga yang kurang percaya bagaimana beliau berjaya menamatkan kes itu dengan mudah.

Ada ura-ura menyatakan YB ini bukan sahaja tidak ikut telunjuk pihak yang menentangnya tetapi beliau turut kuat menentang sebarang perbuatan rasuah dan penyelewengan.

Cara YB ini bekerja patut jadi contoh kepada wakil rakyat lain bahawa kaum hawa lebih berani bela nasib rakyat daripada YB lelaki!