Johor kekurangan guru lima subjek, kata Exco

Aminolhuda (tengah) bergambar dengan guru-guru SMK Taman Universiti.
Aminolhuda (tengah) bergambar dengan guru-guru SMK Taman Universiti.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor menghadapi kekurangan guru bagi lima subjek, menurut Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri.

Aminolhuda Hassan berkata, subjek tersebut adalah Sejarah, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan Pendidikan Islam.

"Subjek yang biasanya kritikal (kurang guru) adalah Sejarah, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan Pendidikan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Ziarah dan Penyampaian Hadiah sempena Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti, Skudai semalam.

Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, keseluruhan guru di Johor hampir 50,000 orang, bagaimanapun masih terdapat kekurangan guru di negeri ini kira-kira dua peratus.

"Masalahnya adalah kemasukan guru dari luar itu tiada, sesetengah guru tidak mahu pindah ke sini (Johor), susah orang luar nak datang Johor.

"Jadi, kita harapkan kemasukan atau pengambilan mahasiswa untuk menjadi guru boleh diatur supaya boleh dilebihkan untuk anak-anak Johor, jadi mereka boleh kembali ke negeri ini untuk berkhidmat," katanya.

Sementara itu, beliau berharap pelantikan Pengarah Pendidikan Negeri Johor yang baru, Azman Adnan dapat diterima semua pihak sekali gus semua pihak dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Azman untuk mencapai hasrat menjadikan Johor lebih baik dalam akademik dan ko-kurikulum.

Artikel Berkaitan:

"Semoga beliau (Azman) dapat meneruskan agenda kerajaan dan dapat mencapai visi serta misi yang ditetapkan sebelum ini.

"Tahniah juga diucapkan kepada beliau (Azman) kerana ketika memangku jawatan pengarah sebelum ini, Johor telah menjadi Johan dalam sukan pada Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). "Saya juga mengharapkan semua pihak, guru-guru dan ibu bapa dapat menerima pelantikan ini dan sama-sama memperkukuhkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta meningkatkan pengurusan serta bidang berkaitan," katanya.