Kenyataan Takiyuddin melampaui batas

A
A
A

TINDAKAN Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu ceramah di Sandakan, Sabah mempersoalkan jika rakyat mahu bekas banduan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah kenyataan melampaui batas dari segi peradaban dan perundangan.

Takiyuddin mengambil pendirian bahawa sebagai seorang bekas banduan, Anwar tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kenyataan Takiyuddin seolah-olah mempertikaikan proses pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke atas Anwar. Baginda memberi pengampunan tersebut kerana yakin bahawa telah berlaku salah laku keadilan (miscarriage of justice) dalam kes Anwar.

Dr Mahathir juga bersetuju dengan pengampunan tersebut dan proses pengampunan telah dijalankan mengikut prosedur yang rapi.

Sebagai seorang bekas majistret dan peguam yang berpengalaman, Takiyuddin patut tahu bahawa dengan pengampunan tersebut, Anwar sudah tidak boleh lagi dikait dan disabitkan dengan kes Liwat 2. Malah beliau tidak boleh lagi dilihat sebagai bekas banduan kerana hukuman ke atasnya telah dipadamkan melalui proses pengampunan tersebut.

Takiyuddin ialah rakan baik saya. Jika boleh, saya tidak mahu mempertikai permainan politiknya. Ini kerana saya percaya, beliau bersama-sama pemimpin Pas lain yang progresif boleh dan mampu memberi nafas baru kepada perjuangan Pas dan mengangkat Pas ke tahap yang lebih baik lagi.

Berbalik kepada kes Liwat 2, ramai pengamal undang-undang dan pemerhati politik tanah air berpendapat bahawa ia adalah satu konspirasi politik untuk meyekat Anwar daripada terus mara dengan wadah perjuangannya.

Artikel Berkaitan:

Malaysian Bar, International Commission of Jurists (ICJ), Australian Bar Association, Amnesty International, Human Rights Watch, kerajaan Amerika Syarikat antara lainnya telah menyelar keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebagai salah laksana keadilan.

Mengikut pemerhatian wakil daripada ICJ: “Keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi telah menimbulkan banyak keraguan tentang ketelusan dan kebebasan badan kehakiman dan sekaligus telah mencemarkan sistem perundangan negara."

Ada banyak kes banduan yang diangkat dan dimuliakan oleh ALLAH SWT yang diiktiraf dan diterima rakyat.

1) Nabi Yusof

Nabi Yusuf yang telah difitnah dengan tuduhan ingin membuat zina dengan Zulaikha, maka baginda dipenjarakan walaupun para pembesar sedar bahawa baginda tidak bersalah. Akhirnya, baginda dibebaskan oleh Raja Mesir dan baginda dilantik menjadi Menteri Kewangan Kerajaan Mesir. Berkat kebijaksanaan baginda, tujuh tahun yang makmur berjaya dilalui dan tujuh tahun kemarau juga tidak mendatangkan masalah kepada rakyat atas kebijaksaaan Nabi Yusuf mentadbir negara.

2) Nelson Mandela

Nelson Mandela telah dipenjara oleh rejim apartied selama 27 tahun atas berbagai-bagai tuduhan termasuk sabotaj dan konspirasi untuk mengguling kerajaan yang dipilih secara sah.

Akhirnya beliau dibebaskan, diangkat menjadi Presiden Afrika Selatan dan memberi khidmat yang cemerlang kepada negaranya sehingga diiktiraf sebagai salah seorang negarawan yang paling unggul dan berpengaruh di dunia moden.

3) Malcolm X

Malcolm X juga ialah bekas banduan Amerika Syarikat tetapi tidak menghalang beliau daripada diiktiraf sebagai pejuang hak asasi manusia yang dihormati serta disegani ramai, baik bagi yang berkulit hitam mahupun yang berkulit putih.

Kita tahu bahawa orang politik kadang-kadang sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mencapai impian politik mereka. Prinsip boleh tergadai. Perbezaan antara yang benar dan yang batil sudah tidak penting. Fitnah menjadi perkara biasa. Halal haram juga ikut bertukar dan bersilih ganti.

Timbul pula kecenderungan untuk mengangkat kehebatan diri sendiri dan memperlekeh serta mengeji pihak lawan tanpa batasan atau sempadan. Tetapi bagi pemimpin-pemimpin Melayu Islam yang berbangga dengan kesyumulan agama mereka dan kemurnian budaya bangsa, mereka berkewajipan untuk memastikan seni politik mereka lebih murni dan lebih bersih daripada orang lain.

Sama ada Pas, UMNO, Pakatan Harapan atau mana-mana parti lain yang bergerak dalam arena politik hari ini, semuanya berkewajipan untuk patuh dan akur dengan tuntutan rakyat untuk mengamal politik yang lebih berprinsip.

*Wan Haron Wan Hassan ialah seorang peguam