PTPTN jangan tekan peminjam belum bekerja, kata Anwar

No Image Caption
A
A
A

BANGI - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) harus memberi kelonggaran sebelum memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam-peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar PTPTN tidak membuat keputusan yang menekan peminjam.

“Beri sedikit kelonggaran kepada peminjam yang belum dapat pekerjaan, beri mereka sedikit ruang.

“Saya akan sokong kehendak rakyat, dan saya rasa rakyat tidak akan bersetuju dengan apa-apa tindakan yang agak keras, terutamanya dalam kalangan mereka yang belum bekerja.

"Mereka pinjam tetapi tidak ada kerja, nak tekan lagi sebab apa. Itu pandangan saya,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis iftar perdana sempena setahun pembebasannya dari penjara, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, cadangan supaya PTPTN menguatkuasakan semula sekatan terhadap peminjam culas merupakan antara idea yang dikemukan pihak berkaitan hasil daripada sesi libat urus yang dijalankan.

Menurutnya, alasan bagi cadangan tersebut kerana ia berkesan ke atas peminjam PTPTN yang culas tidak membayar pinjaman bertujuan untuk mendisiplinkan mereka.

Artikel Berkaitan: