'Jangan takut lakukan kejutan'

No Image Caption
A
A
A

PEMAIN disaran supaya tidak gentar berdepan dengan pasukan gergasi badminton dunia, China mahupun India menjelang saingan peringkat kumpulan Piala Sudirman 2019 yang bermula di Nanning, China, Ahad ini.

Malah, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann, meminta barisan skuad negara supaya tidak patah semangat apabila menentang China yang menjadi pilihan utama kejohanan.

”Secara keseluruhan, kita jelas ketinggalan jauh dengan China dalam semua acara dan hanya mengharapkan pemain untuk menampilkan persembahan terbaik masing-masing serta melakukan beberapa kejutan,” katanya kepada pemberita sebelum pasukan negara berlepas ke Nanning di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini, hari ini.

Kejohanan berpasukan campuran selama seminggu itu menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama China dan India.

Choong Hann, bekas pemain negara, menegaskan skuad negara perlu menggunakan peluang untuk mengatasi India dalam usaha meningkatkan peluang ke saingan suku akhir.

Menurutnya, skuad negara mempunyai kelebihan dalam acara beregu berbanding India tetapi mengingatkan pemain supaya jangan leka dengan kehadiran pemain perseorangan lawan yang memiliki ranking dunia yang lebih baik.

Dalam pada itu, katanya, pemilihan Goh Soon Huat sebagai kapten pasukan dan timbalannya, Chow Mei Kuan dibuat berdasarkan pengalaman luas kedua-dua pemain itu dalam acara berpasukan.

Sementara itu, Soon Huat berkata beliau terkejut dengan pemilihannya sebagai kapten pasukan tetapi berjanji akan menggalas tanggungjawab yang diberi dengan sebaik mungkin.

Artikel Berkaitan:

Malaysia akan membuka kempen dengan menentang China pada 19 Mei ini sebelum melengkapkan jadual perlawanan kumpulan dengan India, dua hari kemudian.

Berdasarkan format pertandingan, hanya dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke saingan suku akhir.

Malaysia tidak pernah menjuarai Piala Sudirman yang diperkenalkan pada 1989 dan pencapaian terbaik negara ialah mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China.- Bernama

SKUAD NEGARA KE PIALA SUDIRMAN 2019:

Perseorangan Lelaki: Lee Zii Jia, Chean June Wei, Soong Joon Vern

Perseorangan Wanita: Goh Jin Wei, Soniia, Lee Ying Ying

Beregu Lelaki: Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, (Nur Izzuddin Rumxsani)

Beregu Wanita: Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen

Beregu Campuran: Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, (Chen Tang Jie)