Pembinaan KXP: Perlu wujud situasi menang-menang

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Persekutuan diminta memastikan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) nanti akan memberikan situasi menang-menang kepada dua kerajaan negeri iaitu Pulau Pinang dan Kedah serta rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berikutan cadangan pembinaaan infrastruktur seperti lapangan terbang KXP itu sudah tentu akan menelan saiz perbelanjaan yang besar dan perlu menjadi pelengkap kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

"Pada masa ini, KXP masih di peringkat cetusan idea dan banyak perkara perlu diperhalusi lagi. Dengan infrastuktur yang begitu besar saiz perbelanjaannya, tujuan projek ini diadakan mestilah akan memberi situasi menang-menang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan Aidilfitri AEON dan KPDNHEP kepada 200 kanak-kanak di Kompleks Membeli-Belah AEON di sini hari ini.

Berhubung persaingan yang bakal dihadapi LTAPP dengaan adanya pembinaan KXP Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu berkata, keadaan ini perlu wujud dalam situasi dan dalam keadaan yang sihat serta positif.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang hantar surat permohonan bincang isu KXP

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dilapor berkata, pembinaan KXP dijangka akan menjadi saingan dan mengurangkan kadar penggunaan kemudahan infrastruktur kargo di LTAPP dan akan mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.

Pada Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan, kerajaan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi berbeza daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang berpendapat pembinaan KXP di lokasi hanya kira-kira 60 kilometer dari Pulau Pinang akan memberi impak negatif kepada LTAPP dan negeri. - Bernama

Artikel Berkaitan: