Kerajaan dijangka umum VOA tidak lama lagi: Mohamaddin

Mohamaddin Ketapi
Mohamaddin Ketapi
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan dijangka mengumumkan satu berita positif berhubung 'Visa Semasa Ketibaan' (VOA) buat pelancong selepas sambutan Aidilfitri pada Jun atau Julai, kata Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya sedang berunding dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menangani isu-isu tertentu yang timbul dan pengumuman akan dibuat tidak lama lagi.

“Kami sedang berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan semua isu berhubung VOA, termasuk untuk menjadikan ia lebih mudah bagi para pelancong untuk memasuki negara, keperluan yang tidak terlalu ketat, bagi meningkatkan jumlah kehadiran pelancong.

“Ia akan akan diselesaikan tidak lamai lagi, dan kita akan membuat pengumuman rasmi dalam masa dua bulan selepas semuanya siap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai ‘Spectrum of the Seas’, kapal persiaran terbaru dan terbesar milik Royal Carribean International di Terminal Persiaran Swettenham di sini hari ini.

Beliau berkata hasrat kerajaan adalah untuk memudahkan pelancong luar terutama dari China dan India menikmati percutian mereka di sini.

Belan lepas Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan menyediakan akses perjalanan bebas visa bagi pelancong dari China dan India bagi menggalakkan industri pelancongan.

Gesaan yang sama turut disuarakan oleh Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin yang meminta supaya kerajaan persekutuan memperkenalkan kemudahan VOA kepada pelancong dari China dan India yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Sementara itu Mohamaddin berkata Malaysia menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong dan perolehan hasil pelancongan RM100 billion sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan dilancarkan bulan depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: