Semua wakil rakyat perlu peka: Dr Sahruddin

Dr Sahruddin menyantuni rakyat yang hadir sempena Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Asnaf di Masjid Kampung Parit Medan, Kundang Ulu Tangkak, hari ini.
Dr Sahruddin menyantuni rakyat yang hadir sempena Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Asnaf di Masjid Kampung Parit Medan, Kundang Ulu Tangkak, hari ini.
A
A
A

TANGKAK - Kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung larangan berpolitik di dalam masjid dan surau, demikian menurut Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar setiap wakil rakyat peka mengenai perkara ini agar insiden sama tidak lagi berulang.

"Patik menjunjung titah tuanku di atas pelanggaran itu. Patik dimaklumkan memang ada kesilapan atau pelanggaran di mana terdapat ahli politik mengadakan ucapan di dalam masjid.

"Sebetulnya, patik sudah bermesyuarat bersama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) dan pekeliling mengenainya sudah diberi di mana semua ahli politik tidak dibenarkan mengadakan sebarang ucapan atau ceramah di dalam dan kawasan persekitaran masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Asnaf di Masjid Kampung Parit Medan, Kundang Ulu di sini, sebentar tadi.

Tambah Dr Sahruddin, perkara utama adalah mengeratkan permuafakatan demi memastikan kesejahteraan serta kebersamaan Bangsa Johor terus utuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Politik dalam masjid tindakan biadab: Sultan Johor

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Terdahulu, Sultan Johor, bertitah ada menerima aduan serta rasa tidak selesa masyarakat terhadap Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong memberi ucapan di dalam Masjid Tenang Stesyen di Labis, Segamat pada 10 Mei lalu.

Baginda bertitah, tindakan Ahli Parlimen tersebut mendatangkan rasa kurang senang, kecewa yang amat mendalam dan menimbulkan bantahan umat Islam setempat dan di negeri ini.

“Justeru, saya menyimpulkan tindakan ini sebagai pencabulan serius terhadap kesucian masjid dan sekali gus menggugat kedudukan Islam sebagai agama Negeri Johor Darul Ta’zim,” titahnya seperti dipetik dari laman sesawang royaljohor.com.my.