61 tahun ditadbir BN, 2018 lakar sejarah baharu

Putrajaya
A
A

PUTRAJAYA – Tahun 2018 melakar sejarah bagi perkhidmatan awam negara apabila pusat pentadbiran negara Putrajaya buat pertama kalinya berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan baharu pimpinan PH setelah kira-kira 61 tahun di bawah pemerintahan BN.

Ia berikutan perubahan landskap politik negara apabila gabungan PH menumbangkan BN pada PRU14 pada 9 Mei.

Perkhidmatan awam turut melakar sejarah apabila komponen penting kerajaan itu kembali berkhidmat di bawah tampuk pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Susulan kemenangan PH yang dipimpinnya, Dr Mahathir mencipta sejarah apabila menjadi Perdana Menteri kali kedua setelah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7 selain pemimpin tertua di dunia menerajui negara. Dr Mahathir juga adalah Perdana Menteri ke-4 Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Perkhidmatan awam juga mendapat peneraju baharu pada 2018 apabila Datuk Seri Dr Ismail Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 29 Ogos bagi menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa, yang tamat kontrak perkhidmatan.

Ismail dilantik ke jawatan nombor satu perkhidmatan awam itu hanya selepas kira-kira dua bulan memegang jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 12 Jun, menggantikan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang dipendekkan kontrak perkhidmatannya.

Pada hari pertamanya sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang ke-14, Ismail menekankan akan kepentingan menegakkan integriti dan memegang prinsip kebenaran dalam menjalankan tugasnya.

Ismail juga dilaporkan mahu melakukan reformasi perkhidmatan awam untuk meningkatkan integriti, menguatkuasakan pengurusan kewangan awam yang berhemah dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

"Zaman di mana penjawat awam perlu menuruti arahan membuta tuli telah berlalu," kata Ismail dalam amanatnya untuk mensejahterakan perkhidmatan awam pada awal pelantikannya sebagai Ketua Setiausaha negara.

Sektor perkhidmatan awam "terpalit" dalam isu integriti apabila dua bekas pegawai tinggi kerajaan diseret ke mahkamah pada tahun 2018 atas pertuduhan pecah amanah wang milik kerajaan Malaysia.

Pada 25 Oktober, Mohd Irwan menghadapi enam tuduhan pecah amanah wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6,636,065,000 bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di mana antara pertuduhan itu berkaitan pembayaran hutang dana pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).

Pada 25 Oktober juga, bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Hasanah Abdul Hamid, 61, pula didakwa dengan pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta milik kerajaan Malaysia.

Pada 2018, kerajaan PH melaksanakan penstrukturan semula kementerian antaranya melibatkan penggabungan beberapa kementerian, kewujudan kementerian baharu serta pertukaran nama dan tanggungjawab kementerian.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ditubuhkan, Kementerian Pembangunan Usahawan diwujudkan semula selepas dimansuhkan pada tahun 2009 manakala Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi dahulunya digabungkan di bawah satu bumbung sebagai Kementerian Pendidikan.

Antara kementerian ditukar nama ialah Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi kepada Kementerian Industri Utama; Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli; Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kepada Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar; dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Peneraju beberapa kementerian turut berwajah baharu antaranya Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 12 September, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 5 Julai dan Datuk Dr Mohd Gazali Abas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan pada 20 Jun.

Peneraju beberapa suruhanjaya utama juga bertukar pada 2018 seperti Datuk Seri Shukri Abdull dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Azhar Azizan Harun sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beberapa agensi dan program pula dibubarkan antaranya Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN), manakala fungsi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula diserapkan di bawah Kementerian Pengangkutan.

Kerajaan telah menubuhkan Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) dengan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilantik sebagai ketua pengarahnya bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.

Perkhidmatan kira-kira 17,000 penjawat awam berstatus kontrak turut ditamatkan memandangkan mereka adalah lantikan politik kerajaan terdahulu.

Pada 20 September frasa "saya yang menjalankan amanah" dikuatkuasakan bagi menggantikan frasa "saya yang menurut perintah" yang sekian lama digunakan dalam urusan penyediaan surat kerajaan.

Ia sejajar dengan hasrat kerajaan supaya setiap penjawat awam dapat menghayati bahawa setiap perintah, tugasan dan tanggungjawab adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia