Pembangkang cadang Selangor beri bonus empat bulan gaji

Rizam
Rizam
A
A
A

SABAK BERNAM - Pembangkang Selangor mencadangkan kerajaan negeri memberikan sekurang-kurangnya bonus empat bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail berkata, pemberian bantuan khas kewangan itu penting bagi membolehkan penjawat awam membuat persediaan Aidilfitri.

Katanya, penjawat awam di Selangor tidak terkecuali berdepan tekanan kos sara hidup yang membebankan terutama dengan kenaikan harga barang.

"Mungkin ada penjawat awam di Selangor mempunyai pendapatan tambahan dengan mengusahakan kelapa sawit dan kebun, tetapi dengan kejatuhan harga komoditi itu memberi kesan kepada pendapatan mereka yang jauh merosot," katanya.

Rizam yang juga ADUN Sungai Air Tawar berkata, sebagai sebuah negeri maju dan menjadi contoh kepada negeri lain, beliau berharap Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mempertimbangkan pemberian bonus tahun ini melebihi menteri besar sebelumnya.

"Pemberian bonus ini biarlah sama macam mana menteri besar sebelumnya yang pernah memberi bonus tiga bulan gaji.

"Saya berpandangan dengan kerajaan peringkat Persekutuan dan negeri milik Pakatan Harapan (PH), Inilah masanya mereka membuktikan pentadbiran mereka jauh lebih baik daripada penggal sebelumnya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Selangor umum bonus Jumaat ini

Artikel Berkaitan:

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dijangka mengumumkan pemberian bonus penjawat awam Selangor, esok.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, bantuan khas kewangan itu dijangka diumumkan Amirudin pada perjumpaan Rapat Ramadan bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah.