Lelaki mengamuk, ugut tikam adik perempuan

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut selepas disyaki mengugut mahu menikam adik perempuannya di sebuah rumah di Kampung Bukit, Chendering di sini semalam.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Rusila Nik hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Menurut sumber, kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu berlaku selepas timbulnya sedikit perselisihan faham sehingga tercetus pertengkaran antara suspek berusia 36 tahun dan adik perempuannya berusia 26 tahun.

Sumber berkata, pertengkaran mulut antara dua beradik itu berlarutan sehingga suspek mengamuk kerana gagal mengawal emosi marahnya.

"Suspek dikatakan bertindak terbalikkan meja makan di ruang tamu selain mengancam mangsa dengan sebilah pisau yang diambil di dapur.

"Tidak cukup dengan itu, suspek bertindak agresif dengan mengugut mahu menikam mangsa menggunakan senjata berkenaan," katanya.

Menurut sumber, mangsa bernasib baik apabila bapa mereka yang kebetulan berada di lokasi bertindak masuk campur dengan menasihati suspek supaya pulang ke rumahnya di Kampung Durian Guling, Marang.

"Setelah dipujuk secara baik, suspek akhirnya mengalah dan terus balik ke rumahnya sebelum mangsa bergegas ke Balai Polis Chendering di sini untuk membuat laporan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang di sini mengambil keputusan membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga pada masa akan datang," katanya.

Susulan laporan dibuat, suspek ditahan kira-kira jam 1 pagi tadi di rumahnya di Kampung Durian Guling.