Ahli Majlis Daerah Lenggong terkejut nama digugurkan

Sharifah Hazlina (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di hadapan Balai Polis Lenggong, di sini, hari ini.
Sharifah Hazlina (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di hadapan Balai Polis Lenggong, di sini, hari ini.
A
A
A

LENGGONG - Lima Ahli Majlis Daerah Lenggong menggesa pimpinan PKR Perak menjalankan siasatan berkenaan surat menggugurkan nama mereka daripada lantikan ahli majlis.

Ahli Majlis Daerah Lenggong, Sharifah Hazlina Syed Musa berkata, kelima-lima mereka terkejut apabila menerima makluman bahawa nama mereka digugurkan daripada Ahli Majlis Daerah Lenggong dan digantikan dengan calon baharu.

"Surat berkenaan dikeluarkan oleh pejabat Kerajaan Tempatan Perak bertarikh 8 Mei lalu yang memaklumkan pertukaran baharu ahli majlis daripada parti PKR berkuat kuasa 2 Mei hingga 14 Julai 2019.

"Saya ada menghubungi Exco Kerajaan Tempatan, Paul Yong Choo Kiong dan beliau memaklumkan akan menyiasat perkara ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Rumah Rehat Majlis Daerah Lenggong, di sini, hari ini.

Menurut Sharifah Hazlina, dia juga ada menghubungi pimpinan tertinggi PKR Perak dan mereka memaklumkan tidak mengeluarkan sebarang arahan pertukaran Ahli Majlis Daerah Lenggong bagi wakil PKR.

"Mereka memaklumkan surat senarai nama yang dihantar kepada pejabat Exco Kerajaan Tempatan juga adalah tidak sah memandangkan tiada arahan dikeluarkan PKR Perak.

Lima Ahli Majlis Daerah Lenggong dari PKR yang dikatakan digugurkan dari jawatan mengikut surat yang ditularkan.
Lima Ahli Majlis Daerah Lenggong dari PKR yang dikatakan digugurkan dari jawatan mengikut surat yang ditularkan.

"Jadi kami semua minta jika ada dalang di sebalik semua ini, pimpinan tertinggi PKR Perak perlu mengambil tindakan disiplin sekeras-kerasnya kerana mereka melanggar etika serta mempertikaikan kredibiliti parti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sharifah Hazlina mewakili empat lagi ahli majlis terlibat membuat laporan polis selepas surat arahan pertukaran berkenaan ditularkan oleh individu tidak bertanggungjawab memandangkan ia adalah sulit.

"Laporan polis telah dibuat pagi ini di Balai Polis Lenggong dan saya meminta pihak polis menyiasat di bawah jenayah kerahsiaan data, pelanggaran kontrak serta salah guna kedudukan dan kuasa.

"Kami berharap individu yang tidak bertanggungjawab mengucar-kacirkan hal ini segera ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Sharifah Hazlina juga memaklumkan dia bersama empat lagi ahli majlis memohon supaya surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Tempatan Perak itu di tarik semula.

"Kami mohon pertukaran calon baharu seperti di dalam surat tersebut ditarik balik dan memberitahu bahawa kami masih boleh meneruskan tugas sehingga tamat tempoh Julai ini agar tiada prejudis," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, Ahmad Suqairy Alias ketika dihubungi memaklumkan pihaknya tidak dapat memberi sebarang maklum balas berkenaan perkara tersebut.

"Maaf saya tak dapat nak komen buat masa ini sehingga ada arahan daripada kerajaan negeri," katanya.