Potensi tanaman jagung bijirin

Abdul Fattah (depan, dua dari kanan) berjabat tangan dengan Ramana selepas menandatangani perjanjian projek tanaman jagung bijirin semalam.
Abdul Fattah (depan, dua dari kanan) berjabat tangan dengan Ramana selepas menandatangani perjanjian projek tanaman jagung bijirin semalam.
A
A
A

PENDANG - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) membangunkan tanaman jagung bijirin di kawasan berkeluasan 83 hektar di Mukim Hosba, di sini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, projek berkenaan turut mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat perladangan, Famox Plantation (M) Sdn Bhd.

Katanya, syarikat berkenaan merupakan syarikat pertama yang dipilih oleh Kementerian Pertanian untuk bekerjasama dengan Angkasa bagi projek tanaman yang berskala besar itu.

“Fasa pertama projek tanaman ini akan bermula pada minggu ini dengan membabitkan tanah berkeluasan 65 hektar.

“InsyaALLAH tuaian pertama akan dijalankan menjelang Ogos depan dan dijangka mampu menghasilkan kira-kira 520 tan metrik bijirin,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menandatangani perjanjian dengan Famox Plantation di sini semalam.

Menurutnya, Angkasa memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta untuk menjayakan keseluruhan projek tanaman terbabit.

“Kita melihat adanya potensi untuk industri tanaman bijirin ini berkembang kerana boleh menampung permintaan penternak-penternak ayam dan ruminan tempatan yang kini terpaksa bergantung kepada import.

“Dalam masa yang sama, kita juga memberi jaminan kepada penternak bahawa bekalan makanan ternakan ini dijamin halal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Fattah berkata, usaha ini juga memberi peluang kepada mereka untuk membekalkan bijirin tersebut kepada pusat kuarantin lembu dari Thailand yang juga terletak berdekatan ladang tanaman ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Famox Plantation, K N Ramana dan Pegawai Pertanian daerah Kubang Pasu, Nurashikin Abdul Razak.