Kalau saya dianggap berjaya, ia hasil didikan guru: Mahathir

A
A

Kalau saya dianggap berjaya, ia hasil didikan guru: Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang, hari ini.

Dalam ucapannya, perdana menteri menyebut betapa beliau menghargai peranan guru dalam usaha membangunkan anak bangsa di negara ini.

Kata beliau, jika beliau dianggap berjaya, ia adalah hasil dari didikan baik diterimanya daripada guru-guru saya di samping ibu bapa.

Isu pendidikan sememangnya sangat dekat di hati Ahli Parlimen Langkawi itu memandangkan arwah bapanya sendiri, Mohamad Iskandar merupakan pengetua Melayu pertama di Maktab Sultan Abdul Hamid, yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH).

Peranan pertamanya dalam ahli Kabinet, iaitu sebagai Menteri Pendidikan juga, barang kali antara sebab utama mengapa Dr Mahathir sangat menitik beratkan isu pendidikan di negara ini.

Pegawai ugut staf jangan undi PH masih mengetuai Yapiem

Seorang pegawai tinggi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang secara terbuka menggesa kakitangannya tidak mengundi Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum tahun lalu masih mengetuai agensi kerajaan itu.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Mohd Daud Bakar mengesahkan lelaki dalam satu rakaman video viral yang memberi amaran kepada kakitangan Yapeim untuk tidak mengundi PH ialah Ketua Pengarahnya, Datuk Abibullah Samsudin.

Dalam klip video itu, Abibullah memberi amaran kepada kakitangannya supaya tidak menyokong PH, dan bersedia menyemak dengan SPR jika ingkar.

Berdasarkan video itu, Abibullah berkata sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran beliau yakin semua kakitangan dan dirinya akan disingkirkan daripada agensi itu.

Pendedahan video itu berlaku ketika yayasan tersebut berdepan dakwaan salah pengurusan kewangan, termasuk dana RM1 juta bagi anak yatim yang didakwa digunakan Yapeim untuk membayar yuran guaman.

Mayat jururawat hilang ditemui di Cyberjaya ada kesan kelar

Mayat wanita dipercayai dibunuh yang ditemui di sebuah rumah sewa di Cyberjaya, petang semalam dikaitkan dengan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, yang dilaporkan hilang sejak 8 April lalu.

Berdasarkan laporan Harian Metro, mayat ditemui pemilik rumah berkenaan dalam keadaan reput selain terdapat kesan kelar.

Pemilik rumah berkenaan difahamkan datang untuk melakukan pemeriksaan apabila penyewanya gagal dihubungi sejak seminggu lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita berkenaan.

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

PBB sahkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengesahkan Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai penandatangan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menerusi satu kenyataan, pihaknya telah menerima notis awal daripada Kementerian Luar Negeri berhubung penarikan Malaysia daripada statut tersebut.

Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk menarik balik Instrument Of Instruction daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 5 April 2019.

Kelmarin, Wisma Putra menyatakan rasa kesal kerana masih disenarai sebagai negara yang meratifikasi statut berkenaan menerusi laman sesawang PBB walaupun telah mengemukakan surat penarikan.

Dalam pada itu, PBB berkata, walaupun telah menarik diri namun Malaysia tetap komited terhadap kedaulatan undang-undang untuk mengadili pelaku pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Lelaki tikam imam di Terengganu kena penjara 41 bulan

Seorang penganggur yang menikam imam yang sedang membaca al Quran kerana bengang selepas mendakwa mengganggu tidurnya dijatuhi hukuman penjara 41 bulan di Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Muhammad Khairil Nawi, 24, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Amin Md Nor, 37, dengan menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian di dalam Masjid Kampung Apal, di sini, jam 6.30 pagi pada 12 Mei lalu.

Sebelum ini, seorang imam ditikam oleh seorang penganggur yang bengang kononnya bunyi pembesar suara bacaan al Quran dari masjid berkenaan mengganggu tidur di rumah abangnya yang terletak tidak jauh dari masjid itu.