Taktik jual air ketum sejuk beku terbongkar

Mohd Said (dua kiri) menunjukkan air ketum botol sejuk beku yang dirampas pada sidang media petang tadi.
Mohd Said (dua kiri) menunjukkan air ketum botol sejuk beku yang dirampas pada sidang media petang tadi.
A
A
A

KEMAMAN - Taktik terbaharu menjual air ketum secara sejuk beku berjaya dibongkar apabila polis menahan tiga lelaki bersama 370 botol air ketum sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM3,700 di sini pagi tadi.

Tiga suspek berusia antara 33 hingga 42 tahun itu diberkas dalam serbuan di Taman Banggol Permai, Kampung Paya Berenjut, di sini, kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kesemua 370 botol air ketum sejuk beku itu berisipadu 129.5 liter.

"Setiap botol yang dirampas mengandungi cecair bewarna hijau dipercayai air ketum yang berisipadu 350 mililiter (ml) dan ia diletakkan dalam dua tong berasingan.

"Tong sejuk beku pertama berwarna jingga mengandungi 260 botol air ketum. Dalam tong kedua berwarna biru pula didapati mengandungi sebanyak 110 botol lagi air ketum," katanya pada sidang media mengenai kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, di sini petang tadi.

360 botol air ketum sejuk beku ini dipercayai untuk pasaran Kemaman dan Dungun.
360 botol air ketum sejuk beku ini dipercayai untuk pasaran Kemaman dan Dungun.



Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan helah menyejukbekukan air ketum dalam botol itu dibuat suspek untuk memastikan air ketum berkenaan lebih tahan lama dan untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Air ketum yang telah siap diproses dalam kuantiti yang besar ini dipercayai mahu dijual untuk pasaran Kemaman dan Dungun," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Artikel Berkaitan:

Mohd Said berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya sekali.

“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (semalam) dan berakhir 19 Mei depan bagi membantu kita menjalankan siasatan lanjut," katanya.