Pemimpin Umno tak tahan diuji

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan keluar parti yang dilakukan pemimpin Umno menunjukkan mereka bukan sahaja tidak tahan diuji, malah tiada keyakinan bergerak atas kapasiti pembangkang dan tidak berani membuat anjakan.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sekiranya pemimpin Umno berani membuat anjakan, sudah pasti mereka berani menjadi pembangkang buat pertama kali dalam sejarah parti itu.

“Sekarang apa yang kita nampak ialah mereka cuba menjadi pelarian politik, mencari dahan tempat berteduh tanpa rasa bersalah terhadap parti ditinggalkan dan pengundi yang memilih parti Umno pada PRU lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Bersatu pula sedang mengumpul kekuatan tersendiri apabila mengalu-alukan kemasukan ahli termasuk bekas pemimpin parti lain dan dianggap parti kedua kecil dalam PH namun memegang kementerian strategik negara.

“Ia juga dilihat sebagai satu persediaan sebelum Tun Dr Mahathir Mohamad berundur sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri, sudah pasti berlaku rombakan Kabinet bagi memastikan pembahagian jawatan Kabinet yang lebih adil berdasarkan nisbah jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi,” katanya.

Awang Azman berkata, sekiranya tindakan keluar parti dalam kalangan pemimpin mereka masih berterusan, ia petanda baik untuk Umno kerana ‘pembersihan’ sebenar akan berlaku dalam parti.

“Umno akan dimiliki golongan pemimpin yang bebas daripada kepentingkan diri. Pemimpin yang tinggal adalah benar-benar berjuang atas nama kepentingan rakyat, bersih daripada kelompok pemimpin yang cuma mahukan kemewahan dan kedudukan dalam parti.

Artikel Berkaitan:

“Sudah pasti rakyat mahu pemimpin parti politik yang sudah bersih dan berubah wajah dalam PRU15 nanti. Tiada lagi anai-anai politik dan spesies katak politik lompat yang tidak ikhlas berjuang untuk rakyat dan parti Umno sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Azman turut menyifatkan tindakan keluar parti sebagai perubahan atau dinamika politik yang harus diterima selain dan rakyat masih memerlukan pembangkang yang kuat untuk semak dan baiki PH supaya tidak menjadi BN 2.0.