Sathianathan kritik kelalaian barisan pertahanan Selangor

Pemain Selangor Sandro Da Silva Mendoca (dua, kanan) cuba mengasak pemain Kedah Mohamad Zaquan Adha Abd Razak (kiri) dalam perlawanan Liga Super 2019 yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Pemain Selangor Sandro Da Silva Mendoca (dua, kanan) cuba mengasak pemain Kedah Mohamad Zaquan Adha Abd Razak (kiri) dalam perlawanan Liga Super 2019 yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan berang dengan kelalaian benteng pertahanan skuad Gergasi Merah walaupun pasukannya berjaya menewaskan Kedah 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Beliau mengakui kelalaian benteng pertahanan pada babak terakhir perlawanan berkenaan hampir membawa padah, memandangkan Kedah melancarkan serangan bertali arus untuk mengurangkan defisit jaringan.

"Apa yang saya risaukan, selepas kita mendahului 3-0, kita sepatutnya mengekalkan permainan konsisten, tapi sebaliknya yang terjadi.

"Yang peliknya, bila kita mendahului permainan, barisan pertahanan kita agak menggelabah untuk mengekang asakan pasukan pelawat,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Dalam pada itu, Sathianathan mengakui penyerang baharu Selangor, Ifedayo Olusegun dari Nigeria tidak berada dalam prestasi terbaik, walaupun berjaya membuat jaringan hatrik pada perlawanan berkenaan.

Beliau, bagaimanapun, yakin bekas pemain Melaka itu boleh beraksi dengan lebih baik, sekiranya diberikan lebih banyak peluang dalam beberapa perlawanan selepas ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak mengakui pasukannya tidak bermain dengan baik di separuh masa pertama, namun memperbaikinya pada separuh masa kedua.

“Saya akan mengambil tanggungjawab atas kekalahan ini, namun demikian adalah penting untuk pemain belajar daripada kesilapan yang telah mereka lakukan dalam perlawanan ini,” kata jurulatih berusia 41 tahun dari Singapura itu.

Artikel Berkaitan:

Pada aksi di Shah Alam, Ifedayo melakar jaringan hatrik untuk Selangor pada minit ke-33, 43' dan 56', manakala Kedah meraih gol tunggal menerusi Jonathan Bauman pada minit ke-63.- Bernama