Guru lanjut pelajaran bakal terima insentif

Dr Maszlee Malik ketika menyampaikan ucapan pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-48 di Pusat Konvensyen Spice Arena, di sini tadi.
Dr Maszlee Malik ketika menyampaikan ucapan pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-48 di Pusat Konvensyen Spice Arena, di sini tadi.
A
A
A

BAYAN BARU - Kementerian Pendidikan akan mencadangkan agar guru yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (MA) dan Ijazah Kedoktoran (PhD) akan diberikan insentif khas.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi meneliti lebih lanjut berhubung cadangan itu.

Menurutnya, cadangan insentif khas itu adalah sebagai antara galakan kepada kelompok berkenaan.

"Antara insentif jangka masa panjang, saya mencadangkan semua guru yang melanjutkan pelajaran dalam MA dan PhD akan diberikan insentif khas. Untuk jangka masa panjang, kita sedang merangka dan berbincang dengan pihak JPA.

"InsyaALLAH saya juga akan minta pertolongan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan ini," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-48 di Pusat Konvensyen Spice Arena, di sini tadi.

Tambahnya, kementerian menggariskan beberapa inisiatif jangka sederhana yang dilaksanakan bermula Januari sehingga akhir tahun ini antaranya mengurangkan isu beban tugas guru berkaitan pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2).

"Pemberhentian pelaksanaan audit SKPMg2 yang mana pihak sekolah kini hanya perlu melaksanakan audit kendiri bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan masing-masing.

"Bagi isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah pula, bermula tahun ini pengawasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilaksanakan secara dua fasa pada bulan Oktober dan November semasa waktu persekolahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, RM35.2 juta disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk peruntukan guru ganti.

"Bagi memenuhi keperluan penggantian guru bercuti, cuti bersalin dan cuti sakit melebihi 28 hari, sebanyak RM35.2 juta peruntukan guru ganti telah disalurkan kepada Jabatan Pendidikan negeri supaya sekolah boleh menggunakan khidmat guru ganti.

"Selain itu, kementerian juga prihatin terhadap kebajikan guru ketika membawa murid keluar daripada sekolah. Oleh itu, prosedur operasi standard (SOP) keselamatan guru juga telah siap disemak dan digubal secara menyeluruh. Antara inisiatif yang akan diberikan ialah Perlindungan Insurans Guru yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya.