4 ditahan bom ikan di Pulau Perhentian

Zawawi menunjukkan antara ikan yang mati akibat kejadian itu.
Zawawi menunjukkan antara ikan yang mati akibat kejadian itu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai empat lelaki ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Besut semalam, susulan kes mengebom ikan di kawasan perairan Taman Laut, Pulau Perhentian, pada Isnin lalu.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, tangkapan itu dilakukan bersama oleh pegawai penyiasat Jabatan Perikanan dan polis, dan mereka masih memburu dua lagi suspek yang disyaki melakukan kesalahan berkenaan.

Menurutnya, empat lelaki yang ditahan itu berusia antara 18 hingga 56 tahun dan bekerja sebagai penjual dan pembekal ikan.

“Tangkapan pertama yang dibuat melibatkan dua orang bertempat di sebuah gerai ikan di Kampung Lampu, Besut kira-kira jam 11 pagi manakala tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki dibuat di sebuah rumah di Air Tawar, Besut pada jam 2 petang.

“Seorang lagi lelaki menyerah diri secara sukarela di Pejabat Taman Laut Besut kira-kira jam 12 tengah hari semalam,” katanya.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, 3 lelaki berkenaan menjadi saksi dan seorang lagi disyaki melakukan kesalahan berkenaan

Jelas Zawawi, pihaknya memandang serius aktiviti mengebom ikan, apatah lagi ia merupakan pertama kali berlaku di perairan negeri ini terutama melibatkan Taman Laut.

Artikel Berkaitan:

Antara ikan yang mati kerana dibom.
Antara ikan yang mati kerana dibom.

Aktiviti itu katanya, merupakan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, iaitu di bawah Seksyen 26(1)(a) dan Seksyen 43(1)(a) kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Zawawi berkata, apa yang dikesalkan adalah kejadian itu berlaku kurang 100 meter daripada pantai dan berhampiran kawasan menyelam.

Malah, kesan daripada letupan itu, hampir 500 ekor ikan mati akibat tekanan dalam radius kurang dua kilometer.

“Aktiviti menyelam sebenarnya bermusim. Memandangkan sekarang ini bulan Ramadan, aktiviti menyelam agak berkurangan. Kita tak menolak kemungkinan mereka menggunakan kesempatan ini untuk melakukan aktiviti ini.

“Ekoran itu, kita akan meningkatkan rondaan dari semasa ke semasa di dua kawasan taman laut di Pulau Perhentian dan Pulau Redang bagi mengelak kejadian serupa berulang. Pada masa ini, dua bot bersama lapan hingga 20 anggota ditugaskan menjalankan rondaan di dua kawasan taman laut berkenaan,” katanya.

Selain itu, sampel ikan yang diambil di kawasan pengeboman telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Universiti Malaysia Terengganu bagi mengenal pasti punca kematian.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki bom ikan di Pulau Perhentian ditahan