JKM kesan waris tujuh kanak-kanak

Dari kiri (atas): Nur Umairah, Nur Hanina, Muhammad Daniel dan Choo Mei Ling
Bawah: Surya Adryan, Adam Joshua dan Muhammad Syahidan
Dari kiri (atas): Nur Umairah, Nur Hanina, Muhammad Daniel dan Choo Mei Ling Bawah: Surya Adryan, Adam Joshua dan Muhammad Syahidan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada tujuh kanak-kanak bagi urusan dokumen pengenalan diri dan proses penempatan.

Pegawai Pelindung JKM Kuala Lumpur, Noor Afdzan Mohd Sahandri berkata, kes pertama melibatkan dua beradik, Adam Joshua Mikaiel Abdullah,10, dan Surya Adryan Damyriel Abdullah,8, yang telah diselamatkan pada 2 Mac 2015 lalu melibatkan aduan penderaan oleh bapa kandungnya serta turut diabaikan oleh ibu mereka.

Noor Afdzan berkata, kedua kanak-kanak ini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras melalui perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuala Lumpur untuk pemeliharaan dan perlindungan.

"Pelindung kini dalam usaha mengesan ibu kandung atau waris mereka bagi tujuan penempatan dan kebajikan," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, JKM turut mengesan ibu kepada seorang kanak-kanak, Choo Mei Ling,8, yang dikata melarikan diri sejak 2013 sehingga menyukarkan bapa kandungnya, Choo Chean Wah menguruskan sijil kelahirannya.

Pelindung kes, Mohd Bukhori Samah berkata, JKM Kuala Lumpur menerima permohonan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) daripada Chean Wah bagi penjagaan kanak-kanak ini selepas kehilangan ibunya yang merupakan warga Indonesia.

"Sehubungan ini, JKM sedang mengesan mana-mana pihak yang mengenali ibu kanak-kanak ini untuk urusan mahkamah," katanya.

Bagi kes berikutnya, Mohd Bukhori berkata, JKM juga sedang mengesan ibu kandung kepada bayi berusia lima bulan, Nur Umairah Abdul Latif yang telah diserahkan kepada Nor Azuri Talib dan Salimah Ali selepas beberapa hari lahir pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Bukhori berkata ibu bayi berkenaan yang dikenali sebagai Wati Mas'od merupakan warganegara Indonesia dan dipercayai telah pulang ke negara itu selepas menyerahkan kanak-kanak ini kepada penjaga terlibat.

Dalam pada itu, JKM juga sedang mengesan waris kepada Muhammad Daniel Hakim, 14, yang sebelum ini diselamatkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Brickfielad dan diserahkan kepada JKM Kuala Lumpur.

Pelindung kes, Azizul Rahaman Zabidin berkata, kanak-kanak ini juga mengaku telah melarikan diri dari rumah sejak tiga tahun lepas dan dia kini ditempatkan di Institusi JKM di bawah Perintah Mahkamah Subseksyen 10 (1) (b) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016.

"JKM sedang mengesan ibu kandung atau waris kanak-kanak ini untuk berbincang bagi mengetahui perancangan penempatannya selepas ini," katanya.

Azizul berkata, pihaknya sedang mengesan waris kepada Muhammad Syahidan,8, yang ditinggalkan ibu kandungnya pada 2011 lalu kepada pasangan warga tempatan.

Katanya, ibunya kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Sulastri merupakan warga Indonesia.

Dalam pada itu, JKM sedang giat mengesan waris kanak-kanak berusia 6 tahun yang dikenali sebagai Nur Hanina.

Pelindung kes, Ainie Haslinda Tew Sea Kia berkata kanak-kanak ini dirujuk oleh bapa kandungnya, Faizal Topo selepas mendakwa tidak mendaftarkan kelahirannya kerana berkahwin secara adat.

"Bapanya ini mendakwa bertemu kali terakhir dengan ibu kandung kanak-kanak ini pada 10 Mac 2014 sebelum hilang ketika kanak-kanak itu berusia satu tahun tanpa sebarang dokumen," katanya.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 03-26124000 (sambungan 4129) atau hadir ke JKM Kuala Lumpur.