Hati-hati pilih tawaran pakej umrah

121698-(1)
121698-(1)
A
A
A

TANAH MERAH - Orang ramai yang ingin menunaikan umrah dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih pakej umrah dan haji yang ditawarkan individu.

Aktivis masyarakat, Izani Zakaria berkata, sejak akhir-akhir ini banyak kes penipuan dilakukan pihak tertentu bagi meraih keuntungan.

Menurutnya, perkara itu perlu dipandang serius oleh masyarakat dan pihak berkuasa memandangkan ia kerap kali berlaku.

“Sepatutnya orang ramai mendapatkan pakej umrah yang sah daripada pihak yang bertauliah.

“Ini perlu bagi mengelakkan penipuan berulang dan saya turut bersedih kerana masih ada yang ambil kesempatan terhadap golongan yang ingin menjalankan ibadah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ramai yang menjadi mangsa merupakan golongan naif dan rata-ratanya adalah penduduk kampung serta warga emas.

Katanya, kebanyakan mereka menggunakan wang yang disimpan untuk menunaikan umrah dan ada juga diberikan anak-anak, tetapi penyudahnya mereka ditipu.

“Ambillah pakej umrah daripada agensi pelancongan yang sah dan berurusan sendiri dengan pihak pengurusan syarikat itu.

Artikel Berkaitan:

“Ini bagi mengelakkan ditipu oleh individu yang kononnya menjadi orang tengah dan pemudah cara, tetapi sebenarnya mahu mendapatkan keuntungan secara mudah atas kesusahan orang lain,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, seramai 21 mangsa didakwa ditipu seorang bekas Adun di Kelantan membabitkan kerugian lebih RM110,000 melibatkan pakej umrah.

Difahamkan bekas Adun itu yang dikenali sebagai ustaz turut dipercayai menipu ratusan mangsa lain dengan jumlah kerugian lebih RM1 juta.