Warna baharu untuk Jazz, City dan CR-VRed PearlPassion

A
A

HONDA Malaysia Sdn Bhd (HMSB) mengumumkan Passion Red Pearl sebagai warna baharu mereka yang akan ditawarkan untuk tiga model pemasangan tempatan (CKD) iaitu City, Jazz dan CR-V.

Warna baharu tersebut juga akan menggantikan Carnival Red untuk Jazz, Dark Ruby Red (City) dan Obsidian Blue Pearl (CR-V).

Menurut pihak Honda, Passion Red Pearl pertama kali diperkenalkan menerusi model HR-V baharu pada Januari lalu. Sejak itu, ia menjadi pilihan utama bagi kebanyakan pelanggan Honda, iaitu 30 peratus daripada jualan HR-V baharu adalah bagi warna tersebut.

Pengarah Urusan dan CEO HMSB, Toichi Ishiyama berkata, dengan pengenalan warna baharu tersebut, Jazz akan tampil lebih muda, sementara City pula nampak lebih bersemangat dan CR-V ternyata lebih bergaya.

“Kami percaya, ketiga-tiga model ini cukup serasi dengan pilihan warna baharu ini, menepati gaya hidup yang lebih versatil bagi pemiliknya. “Berkenaan dengan prestasi jualan, Jazz, City dan CR-V menyumbang 62 peratus untuk jualan keseluruhan Honda Malaysia antara Januari dan April 2019. City merekodkan jualan tertinggi dengan 34 peratus keseluruhan, manakala Jazz menyumbang 12 peratus. CR-V pula 15 peratus untuk jumlah jualan keseluruhan di negara ini,” katanya.

Enjin 1.5L i-VTEC yang sama diguna pakai Jazz dan City.
Enjin 1.5L i-VTEC yang sama diguna pakai Jazz dan City.

Bagi tempoh empat bulan pertama 2019, HMSB mencatatkan jualan sebanyak lebih 28,000 unit, bersamaan 15 peratus bagi perkongsian pasaran. Jumlah jualan berkenaan membolehkan Honda Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia dalam Jumlah Jualan Kenderaan (TIV) di negara ini.

City generasi keempat menawarkan empat varian iaitu 1.5 Hybrid, 1.5 S, 1.5 E dan 1.5 V, ditawarkan pada harga antara RM74k hingga RM84k. Ia dijanakan oleh enjin 1.5L i-VTEC dengan kombinasi CVT ciptaan Honda Earth Dreams Techology. Peneraju sedan sederhana bagi segmen-B ini turut menawarkan ruang penyimpanan barang di belakang paling luas iaitu mencecah 536 liter, terbaik bagi kelasnya.

Manakala Jazz yang turut menawarkan varian yang sama seperti City pula ditawarkan dengan harga bermula RM74k hingga RM87k. Jazz dijanakan enjin yang sama seperti City iaitu 1.5L i-VTEC dengan kombinasi CVT ciptaan Honda Earth Dreams Techology.

Bagi CR-V pula, dibarisi varian 1.5TC Premium, 1.5TC 2WD, 1.5TC 4WD dan 2.0 2WD dengan harga antara RM138k hingga RM163k. Antara kelebihan bagi varian tertinggi CR-V ini ialah ia dilengkapi dengan aspek keselamatan Honda Sensing yang merangkumi tujuh ciri Adaptive Cruise Control (ACC), Low-Speed Follow (LSF), Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), dan Lane Departure Warning (LDW).

Untuk maklumat lanjut pelanggan boleh menghubungi talian Bebas Tol Honda di 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my.