ALLAH makbulkan doa mu...

 Paparan Facebook guru berkenaan tular di media sosial.
Paparan Facebook guru berkenaan tular di media sosial.
A
A
A

[DIKEMASKINI] PEMERGIAN seorang bilal muda yang rebah ketika sedang melaungkan azan Jumaat pada minggu lalu bukan sahaja 'ditangisi' rakan-rakan sekolej, malah para gurunya juga berkongsi kesedihan mereka.

Muhammad Amirul Najmie Muhammad Asrull Leonard telah kembali ke rahmatullah pada 5 Ramadan akibat pendarahan di dalam otak disaksikan penduduk Felda Sungai Panching Selatan yang berada di dalam masjid ketika ingin menunaikan solat Jumaat.

Allahyarham menuntut pada semester lima mengambil jurusan Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan telah menjadi bilal pelatih di KUIPSAS dan diberi tanggungjawab untuk melaungkan azan pada hari tersebut.

Pemergiannya telah ditangisi oleh ramai pihak kerana semasa hidup, Muhammad Amirul Najmi merupakan seorang remaja yang baik dan pemurah.

Perkara itu juga dikongsi oleh bekas gurunya yang dikenali sebagai Normujaidah Osman.

Normujaidah bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota Kuantan, mencoret serba sedikit keperibadian Allahyarham di Facebook peribadinya.

Beliau lebih mesra disapa teacher merupakan guru bahasa Inggeris nyata sebak diatas pemergian seorang pelajar berdedikasi dan berakhlak mulia malah mencemburui pemergian Allahyarham.

"Sungguh kematian ini sangat teacher cemburui, duhai anakanda Amirul Najmi.

Artikel Berkaitan:

"Pergi mengadap Ilahi tatkala engkau bertugas sebagai bilal yang sedang melaungkan azan kedua, menyeru umat manusia mengadapNya menunaikan solat Jumaat.

"Rupa-rupanya, anakanda telah terlebih dulu menemuiNya secara abadi sebelum sempat para jemaah menyahut seruanmu tatkala kamu rebah ketika itu," katanya.

Nama Muhammad Amirul Najmi masih tersemat kemas di hati semenjak dirinya mengajar Allahyarham di tingkatan 5 Marikh pada 2015.

"Takkan teacher lupa perbualan kita bila kamu nyatakan hasrat kamu dulu.

"Teacher, saya minat nak sambung bahagian agama, tapi saya bukan pelajar sekolah agama.

"Kamu ambil Tasawwur Islam, kan? Cuba tengok syarat kemasukan ke mana- mana IPT. Mungkin ada kursus yang bersesuaian yang tidak mensyaratkan kamu ambil mata pelajaran Bahasa Arab semasa SPM," katanya.

Jelas kesungguhan Allahyarham membuahkan hasil apabila berjaya melangkah di jabatan dakwah, KUIPSAS.

"Tidak sia-sia segala pengorbanan, kamu gigih berada di medan. Sungguh, meneliti kisah-kisah kamu dalam melunaskan tugasan pengajian kamu buat teacher rasa sangat bangga.

"Kamu juga memiliki keperibadian yang mulia, sifat merendah diri kamu bila teacher sarankan kamu untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada adik-adik selaku alumni," katanya.

Tambah Normujaidah, hasrat Allahyarham untuk berdakwah ke seluruh pelosok dunia, menyebut nama Tuhanmu hingga penghujung usia, nyata dimakbulkan.

"ALLAH lebih mengasihi kamu tatkala menjemput kamu pulang di dalam bulan yang penuh keberkatan.

"Bertepatan pula pada hari Jumaat di rumahNya yang mulia. Maka termakbullah hasrat kamu duhai anakku saat kamu menyatakan bahawa kamu mahu berdakwah ke seluruh pelosok dunia, menyebut nama Tuhanmu sehingga penghujung usia.

"ALLAH memakbulkannya dengan menjemput kamu pulang disaat kamu sedang bersungguh-sungguh menyeru manusia menuju Tuhan sekalian alam," ujarnya.

Coretan daripada guru bahasa Inggeris itu telah dikongsi oleh ratusan warganet hingga tular dan mereka telah menzahirkan salam takziah serta mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.