Shah Alam berdepan gangguan bekalan air hari ini

Abdul Raof
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam bakal berdepan gangguan bekalan air secara berperingkat pada jam 2 petang hari ini susulan daripada kerosakan peralatan pam utama di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3).

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata insiden kerosakan itu menyebabkan pengurangan agihan air terawat sebanyak 40 juta liter harian (JLH).

Abdul Raof berkata pihaknya kini sedang berusaha untuk mengatasi masalah tersebut dengan mengambil tindakan penyaluran bekalan alternatif bagi mengelakkan impak gangguan kepada pelanggan yang berkemungkinan terjejas susulan insiden tersebut.

"Buat masa ini masih tiada kawasan terjejas. Sekiranya kerja-kerja pembaikan berlanjutan kawasan yang akan mula terkesan adalah sekitar Shah Alam.

"Status terkini perkembangan kerja-kerja pembaikan dan gangguan akan dikeluarkan pada jam 1 tengah hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, antara kawasan yang terlibat dengan gangguan tersebut adalah Bukit Kuda & Jalan Batu 3, keseluruhan Seksyen 7, keseluruhan Seksyen 9, Seksyen 2, Seksyen 4, Seksyen 3, Seksyen 5, Seksyen 6, Seksyen 8, Seksyen 10 dan Seksyen 11.

Selain itu, kawasan lain yang turut terjejas adalah Seksyen 13, Seksyen 14, Seksyen 15, Seksyen 16, Padang Jawa, Seksyen 17. Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24, Seksyen 25, Taman Putramas, dan Seksyen 12.

Dalam pada itu, Abdul Raof berkata pihaknya turut memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku dan akan mengambil tindakan yang perlu bagi mengurangkan impak gangguan serta mempercepatkan proses pemulihan.

Tambah beliau, pelanggan yang terjejas dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan bantuan lori-lori tangki air juga akan digerakkan ke kawasan tersebut,

"Untuk sebarang kemas kini mengenai status terkini, orang ramai boleh merujuk aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia