12 kompaun terhadap peniaga bazar Ramadan di Melaka

Chee Leong (dua,kanan) dan Rushidi (tiga,kanan) ketika program 'walkabout'-bazar Ramadan peringkat negeri di bazar Ramadan Bandar Alor Gajah, petang semalam.
Chee Leong (dua,kanan) dan Rushidi (tiga,kanan) ketika program 'walkabout'-bazar Ramadan peringkat negeri di bazar Ramadan Bandar Alor Gajah, petang semalam.
A
A
A

ALOR GAJAH - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengeluarkan 12 notis kompaun di bawah Akta Makanan 2009 sepanjang seminggu pemeriksaan yang dijalankan di bazar Ramadan sekitar negeri ini bermula 6 Mei lalu.

Exco Kesihatan dan Dadah, Low Chee Leong berkata, notis kompaun berjumlah RM1,100 dikeluarkan hasil pemeriksaan di 746 gerai makanan membabitkan kesalahan dari segi pakaian pengendali makanan, kebersihan diri pengendali makanan dan memakai cincin.

Menurutnya, jumlah itu sedikit menurun berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 22 notis kompaun dikeluarkan hasil pemeriksaan di 1,939 gerai makanan dengan nilai kompaun berjumlah RM2,200, selain 20 sampel makanan telah diambil dan sedang menunggu keputusan analisis makmal.

Katanya, setiap peniaga bazar Ramadan perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk memastikan pekerja mereka yang mengendalikan makanan mendapat suntikan vaksin pelalian anti-tifoid kerana ia melibatkan jaminan terhadap tahap kebersihan pengendalian makanan serta menekankan penggunaan apron.

"Jabatan kesihatan negeri dan pejabat kesihatan daerah akan terus giat menjalankan beberapa aktiviti promosi bagi mendidik orang ramai untuk sentiasa peka mengenai aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

"Aspek ini penting diamalkan sama ada semasa membeli atau memilih makanan di bazar Ramadan sekali gus mengelak berlaku kes keracunan makanan," katanya.

Chee Leong (dua, kanan) ditemani Rushidi (kanan) membuat lawatan serta mengagihkan apron kepada peniaga bazar pada program itu.
Chee Leong (dua, kanan) ditemani Rushidi (kanan) membuat lawatan serta mengagihkan apron kepada peniaga bazar pada program itu.

Chee Leong berkata demikian kepada pemberita selepas program 'walkabout' bazar Ramadan peringkat negeri di Bazar Ramadan Bandar Alor Gajah, petang semalam.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rushidi Ramly.

Dalam pada itu, Chee Leong berkata, JKN juga telah mengarahkan dua hotel dan sebuah kilang ais di daerah Melaka Tengah ditutup bermula awal bulan ini kerana gagal mematuhi peraturan kesihatan, manakala 21 notis dikeluarkan termasuk membabitkan premis kilang ais(11), hotel(8) dan kilang makanan (2) dengan nilai kompaun keseluruhan RM9,300.

Menurutnya, tindakan itu hasil pemeriksaan ketika pra Ramadan lalu, membabitkan 57 premis termasuk kilang makanan dan mendapati tahap penilaian kebersihan ketiga-tiga premis itu di bawah paras 60 peratus.

Katanya, ketiga-tiga premis terbabit diarahkan tutup dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemiliknya perlu menjalankan kerja pembersihan sebelum boleh beroperasi semula.

"Arahan itu dikeluarkan setelah pemilik didapati tidak mematuhi kehendak peraturan dan tidak mengambil berat aspek penyediaan makanan di bawah Akta Makanan 1983.

"Operasi pemeriksaan seumpama itu akan diteruskan lagi supaya pemilik mahupun pengusaha tidak mengambil mudah tahap kebersihan di premis mereka sekali gus mengelak berlaku makanan tercemar," katanya.