Ubah suai tangki kereta seludup 240 liter petrol

Anggota PPM Pengkalan Kubor menunjukkan diesel dan petrol yang dirampas.
Anggota PPM Pengkalan Kubor menunjukkan diesel dan petrol yang dirampas.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki yang cuba seludup 240 liter minyak petrol dengan mengubah suai tangki kereta ditahan di Kampung Simpangan, semalam.

Lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan jam 11 pagi semalam menaiki kereta Proton Saga dalam operasi Ops Inter Agensi Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintenden Mohd Rudzuan Ahmad, berkata, suspek ditahan selepas mendapati tangki kenderaannya diubahsuai bagi tujuan penyeludupan minyak.

"Pemeriksaan lanjut menemui 240 liter petrol dalam tangki kenderaan yang diubahsuai itu.

"Kita percaya lelaki ini memunggah petrol dari stesen minyak berdekatan sebelum diseludup keluar melalui Sungai Golok menggunakan bot," katanya ketika dihubungi hari ini.

Keadaan Proton Saga yang diubahsuai tangki untuk penyeludupan minyak.
Keadaan Proton Saga yang diubahsuai tangki untuk penyeludupan minyak.

Menurutnya, kesemua barang rampasan bernilai RM5,499.20 termasuk Proton Saga dibawa ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, dalam rampasan berasingan, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya mematahkan cubaan seludup diesel bernilai RM1,177.20.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rudzuan berkata, pihaknya membuat serbuan ke sebuah garaj kenderaan di Kampung Tebing pada jam 7 pagi semalam.

Katanya, dalam serbuan itu menemui 540 liter diesel dan selepas menunggu selama 20 minit, tiada yang tampil menuntut dan diesel itu dirampas.