X

Kindly register in order to view this article
!

Main api, semua terbakar

A
A

SETENGAH abad lalu, 13 Mei 1969, saya masih terlalu muda, baru di tingkatan satu di Sekolah Menengah Bukit Gambir, Tangkak, Johor.

Di Kampung Sungai Ekor sekarang ditukar nama Kampung Sungai Jaya keadaan biasa-biasa sahaja. Malam itu seperti selalunya saya mengikut abah ke masjid.

Lepas Isyak, ketika memakai selipar Jepun, ada orang cakap mengenai rusuhan. Kata Uda Mat, “Warta Berita pukul 8 tadi radio cakap ada rusuhan di Kuala Lumpur.”

Rusuhan? Itu memang istilah baharu bagi saya, tidak pernah dengar sebelum ini. Tiba di rumah saya bertanya abah, dan dia menjawab, “gaduh-gaduh.”

Saya hendak ke rumah Uda Mat, boleh dengar radio untuk mengetahui lebih lanjut. Tetapi abah melarang sebab malam gelap. Bukan risau rusuhan, dia lebih bimbang saya disengat lipan bara atau dipatuk ular tedung.

Pagi esok di sekolah cikgu sibuk bercakap dan menerangkan mengenai apa yang berlaku di ibu negara – orang berbunuhan, ramai terkorban.

Saya mengetahui beberapa lagi istilah baharu, yang untuk beberapa hari diulang dalam radio: ‘rusuhan kaum’, ‘khabar angin’, ‘perintah berkurung’.

Meskipun surat khabar menyiarkan berita dan gambar menceritakan dahsyatnya tragedi berdarah itu, di tempat saya kehidupan seperti biasa.

Di sekolah saya masih belajar, bermain dan makan di kantin dengan kawan-kawan Cina dan India. Guru-guru termasuk Mr Poh, Mr Ng, Mr Karpal mengajar seperti biasa.

Orang kampung pun tidak ada sebarang syak, tiada ketakutan langsung. Abon – nama sebenarnya Ah Boon – masih menjadi peraih getah sekerap keliling kampung, Ameng (Ah Meng) masih menjual ais krim potong kacang merah.

Kedai Cina dan India di pekan Bukit Gambir masih dikunjungi oleh pelanggan Melayu. Abah berbelanja di kedai Agor (Ah Goh), beli ikan di pasar daripada Liping (Lee Ping), beli kain pelekat di kedai Kutty. Beli tempe dan daun kencur di gerai Wak Ngasrol.

Orang kampung membesar bersama kaum-kaum lain, tidak ada masalah. Malah ayah saya berkuli – menoreh getah – dengan Ter (Sow Ter) selama 20 tahun.

Kini Bukit Gambir yang dulu pekan koboi telah menjadi bandar satelit yang hidup dan berlap-lip-lap-lip siang-malam. Rumah papan diganti dengan bangunan batu bertingkat.

Ada dua tiga pasar raya terkenal, ada KFC, Pizza Hut, berpuluh restoran. Ada kopitiam, ada karaoke. Perniagaan Agor, Liping dan lain-lain telah berpindah kepada generasi kedua.

Saya tidak tahu macam mana keakraban dan keserasian pelbagai kaum di bandar satelit itu sekarang sebab semua telah pesat membangun, sukar mengecam satu dengan lain.

Tetapi, setiap kali pulang ke kampung, terakhir beberapa minggu sebelum puasa, saya masih berjumpa – dan mengopi – dengan teman-teman arwah abah yang masih hidup termasuk Ter, Abon dan Acun (Ah Choon). Semua sudah tua, tetapi masih mesra.

Di Kuala Lumpur pun saya selesa dengan kehidupan berbilang kaum. Jiran saya ada Cina, India, Serani, semua okey. Saya bergunting rambut di kedai India, servis kereta di bengkel Cina, tidak ada masalah.

Kawan-kawan saya pun ada macam-macam warna. Ada hidung mancung, ada mata sepet. Saya puasa, mereka tidak. Saya raya, mereka pun raya. Mereka beraya pun saya raikan juga.

Saya suka cara seperti ini yang telah terbentuk secara semula jadi sejak lebih 60 tahun lalu – dikekalkan, untuk dinikmati generasi akan datang, anak-anak dan cucu-cicit saya.

Cuma, saya mula berasa tidak sedap apabila akhir-akhir ini sentimen perkauman tiba-tiba ditiupkan. Kaum-kaum dilaga-lagakan. Malang sekali yang meniupkan sentimen dan melaga-lagakan itu adalah orang politik sendiri.

Pada satu ketika mereka bercakap tentang perpaduan tetapi pada ketika lain mereka menghasut menimbulkan kebencian. Lidah bercabang dan hipokrit seperti inilah yang mengelirukan semua kaum.

Maka orang politik, tidak kira apa parti, apa warna, hentikan bermain api, sebab apabila terbakar, semua akan rugi!

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!