Renungan ummah di Ramadan 2019

A
A

RAMADAN tahun ini hadir dengan pelbagai pengajaran yang cukup menginsafkan buat umat Islam di seluruh dunia.

Tragedi Christchurch di New Zealand, pengeboman berkala Zionis ke atas Gaza, kemaraan ekstremis Hindu di India, serangan susulan tragedi Easter di Sri Lanka serta pelarian Rohingya dan Syria – semua ini seolah-olah semakin diterima sebagai sesuatu yang ‘normal’ buat umat Islam. Paling mengecewakan tentulah reaksi suam kuku pemimpin negara-negara Islam sendiri terhadap laporan penindasan rejim Komunis China ke atas umat Islam Uighur.

Bukan sahaja jutaan warga Uighur ditahan di pusat 'pemulihan antikeganasan', malah mereka juga dinafikan hak untuk berpuasa seperti mana menurut sesetengah laporan – lengkap dengan bukti video keengganan pihak autoriti China untuk membenarkan pemerhati antarabangsa meninjau secara bebas keberadaan warga Uighur di Xinjiang.

Status China selaku penaja inisiatif Belt and Road (BRI) dilihat sebagai antara punca utama pemimpin dunia Islam bertindak sedemikian.

Tidak dapat dinafikan, daripada perspektif geopolitik, China kini semakin hampir untuk mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa besar yang terunggul.

Selepas mengumumkan inisiatif geo-ekonomi BRI pada 2013, pada 2017 pula Presiden China, Xi Jinping mengisytiharkan impian pemodenan angkatan tentera China 2035.

Tiga laporan besar berkenaan China telah menggegar arena berita Amerika – satu ialah laporan Bloomberg dan dua lagi laporan Pentagon. Kesemua laporan ini membuktikan ‘penyusupan China’ dalam sektor teknologi dan ketenteraan Amerika. Lima teras kemajuan teknologi ketenteraan China itu ialah – kecerdasan buatan (AI) dan robotik, semikonduktor dan pengkomputeran, teknologi kuantum, persenjataan hipersonik serta tenaga alternatif dan bahan termaju.

Lantas, realiti ini menuntut renungan dan muhasabah yang bukan sedikit buat pemimpin dunia Islam. Jika kuasa sekuat Amerika juga berdepan dengan cabaran getir daripada China, inikan pula umat Islam yang jelas berada dalam keadaan berpecah-belah.

Namun begitu, umat Islam memiliki satu aset yang telah dinyatakan dalam al-Quran, iaitu geografi. Kesemua negara Islam yang menyertai gagasan BRI China berada di kedudukan yang cukup strategik.

Jika Malaysia, Indonesia dan Pakistan mendominasi laluan laut, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Turki pula mendominasi laluan darat.

Maka suatu perancangan ampuh wajar dikemukakan untuk ‘merapatkan saf’ negara-negara Islam dalam BRI bagi menzahirkan iltizam politik yang tidak sekadar tunduk pasrah di kaki Beijing.

Meskipun kesemua negara Islam ini menganggotai Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) namun jurang antara mereka cukup berbeza di mana hanya Malaysia, Indonesia, Turki dan Pakistan yang menganggotai pertubuhan kerjasama ekonomi D-8 yang lebih terkehadapan.

Negara-negara bekas Kesatuan Soviet sebaliknya lebih terkebelakang dan hubungan antara kedua-dua kelompok negara ini kurang erat.

Malaysia dan Indonesia lebih erat melalui ASEAN manakala Kazakhstan dan Kyrgystan lebih erat dalam kerangka Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) yang didominasi Rusia manakala Turki pula selama ini lebih berusaha untuk menyertai blok Kesatuan Eropah (EU).

Demikian juga daripada perspektif ketenteraan. Malaysia, Turki dan Pakistan memiliki hubungan erat termasuklah dengan penyertaan dalam latihan North Thunder di Arab Saudi pada 2016. Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan pula lebih rapat dengan China dan Rusia menerusi Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) sejak tahun 1996 lagi.

Malah Kazakhstan dan Kyrgyzstan turut menyertai pertubuhan ‘NATO Rusia’ iaitu Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) yang dikepalai Moscow sejak 1994. Turki pula meskipun mempunyai kedudukan geografi yang hampir dengan negara-negara ini sebaliknya menjadi satu-satunya negara Islam yang menganggotai NATO pimpinan Amerika Syarikat kerana sejarah Perang Dingin. Pakistan pula lebih erat dengan China kerana meskipun ia merupakan satu-satunya negara Islam yang mempunyai senjata nuklear namun Pakistan memerlukan Beijing untuk mengimbangi seteru rapatnya di Asia Selatan iaitu India yang turut memiliki senjata nuklear.

Maka, apabila China tampil menawarkan inisiatif BRI ini, ia tidak seharusnya sekadar dilihat dari sudut kepentingan nasional negara bangsa semata-mata. Sebaliknya potensi untuk meningkatkan kesalinghubungan antara rantau dan juga antara peradaban dunia Islam perlu dimanfaatkan sebaiknya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.