Ibu negara baharu Indonesia akan diputuskan tahun ini

Presiden Jokowi bersama beberapa pegawai melihat peta ketika melakukan lawatan ke Gunung Mas di Kalimantan Tengah pada 8 Mei lalu. - Foto Antara
A
A

JAKARTA - Indonesia akan memutuskan lokasi baharu ibu negaranya pada tahun ini dengan matlamat untuk menyiapkan ia menjelang tahun 2024.

Keputusan untuk memindahkan ibu negara Indonesia keluar dari Jakarta dibuat kira-kira dua minggu lalu selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) meluluskan rancangan yang telah lama tertangguh itu.

Menteri Perancangan Bandar, Bambang Brodjonegoro berkata, kerajaan sedang memuktamadkan kajian bagi membolehkan keputusan dibuat tahun ini dan memulakan projek pemindahan pada tahun 2021.

"Kami sedang membuat kajian akhir agar pembinaan dapat dimulakan dalam masa satu atau dua tahun lagi.

"Kami berharap pada tahun 2024 ibu negara baharu itu akan dapat beroperasi sebagai pusat kerajaan," kata Bambang sambil menambah Jakarta tetap akan kekal sebagai hab kewangan negara.

Dihuni lebih 10 juta penduduk dan merupakan antara bandar yang semakin tenggelam akibat ekstrak berlebihan air bawah tanah, Jakarta turut dilabel antara bandar yang mengalami kesesakan lalu lintas paling teruk di dunia.

Awal bulan ini Presiden Jokowi melawat ke beberapa wilayah di Kalimantan bagi meninjau kawasan sesuai yang akan dijadikan lokasi ibu negara baharu tersebut. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia