Pertumbuhan ekonomi 4.9 peratus takkan tercapai

Tengku Razaleigh (kiri) dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad (dua dari kiri) beramah mesra bersama tetamu yang hadir dalam Majlis Iftar MPM di Wisma MPM, Kuala Lumpur. - FOTO:ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah meramalkan jangkaan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.9 peratus tahun ini tidak akan tercapai.

Hal ini kerana, menurut beliau, ekonomi negara berada dalam keadaan sengit tetapi tidak berapa baik dengan kejatuhan nilai ringgit.

"Akhir-akhir ini ringgit kita menjunam jatuh sehingga membawa banyak masalah. Hutang kita makin banyak dan kebanyakannya dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

"Nak tarik pelabur bukan mudah dengan kedudukan ringgit kita berbanding dolar AS yang begitu teruk. Kita alami keadaan di mana daya pengeluaran telah jatuh dengan banyak, maka sukar kita nak buat pengubahsuaian kepada kejatuhan nilai ringgit," katanya ketika menyampaikan amanat khas di majlis iftar anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilaporkan berkata beliau yakin Malaysia mampu mencapai pertumbuhan ekonomi 4.9 peratus untuk tahun ini.

Jangkaan itu berdasarkan dengan keyakinan pelabur luar yang sangat memberangsangkan terhadap negara ini.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, hanya dengan kemasukan modal bersih ke dalam negara akan membantu namun ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

"Selagi tak ada pengubahsuaian yang boleh kukuhkan ringgit, maka sukar untuk kita dapat pelaburan baharu dalam negara," katanya.

Bagi menambahkan pendapatan negara, beliau mencadangkan agar penggunaan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) ditingkatkan.

"Negara maju seperti Jepun dan Korea sudah ke arah ini. China juga menggunakan AI untuk menghadapi cabaran dalam dunia perniagaan antarabangsa.

"Penggunaan AI ini dapat selamatkan kos dan tingkatkan pendapatan. Itulah cara yang boleh perbaiki keadaan dihadapi kita ketika ini," katanya.

Katanya, negara juga perlu mengawal pengeluaran wang termasuk mengurangkan import dan pengambilan buruh luar.

"Cadangan lebih praktikal ialah mengurangkan pengambilan buruh asing yang tak ada skil atau belum dilatih," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia