Warisan yakin Tun M, Muhyiddin tak mungkir janji

 Darell Leiking
Darell Leiking
A
A
A

PENAMPANG – Parti Warisan Sabah (Warisan) tetap yakin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus berpegang kepada janji untuk tidak melebarkan sayap Bersatu ke Sabah seperti dipersetujui sebelum PRU14.

Timbalan presidennya, Datuk Darell Leiking juga yakin dan percaya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengambil pendekatan sama, sekali gus menghormati persefahaman itu meskipun ia dibuat tanpa hitam putih.

Dr Mahathir merupakan pengerusi Bersatu dan PH.

Menurutnya, persefahaman tu kekal menjadi asas hubungan baik antara Warisan dan Bersatu.

“Saya ingin menegaskan bahawa Warisan ada persefahaman dengan Bersatu meskpun ia secara tidak bertulis tetapi perkara itu telah disuarakan oleh Dr Mahathir dan Muhyiddin sebelum pilihan raya lepas,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Darell, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menghadiri majlis sambutan Hari Krismas anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas usul khas untuk membawa masuk Bersatu ke Sabah yang diluluskan pada Persidangan Agung Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) hari ini.

Mengulas lanjut, Darell mengakui sesiapa sahaja mempunyai hak bersuara untuk membawa Bersatu ke Sabah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, usaha pemimpin pembangkang di negeri ini hanya mahu mempengaruhi Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk melanggar persefahaman dicapai dengan Warisan sebelum ini. - Bernama