Kecederaan Adib bukan disebabkan pintu van EMRS

Saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi (tengah), memberi keterangan pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota Bomba dan Penyelamat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - FOTO BERNAMA
Saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi (tengah), memberi keterangan pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota Bomba dan Penyelamat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A
A

SHAH ALAM - Kecederaan dialami Muhammad Adib Mohd Kassim bukan disebabkan pintu kiri van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) meskipun tanpa menjalankan eksperimen, Mahkamah Koroner di sini diberitahu hari ini.

Saksi ke-24 inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba itu, pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpir (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata pemeriksaan klinikal dan bedah siasat telah menunjukkan bukti jelas mengenai kecederaan dialami mangsa.

"Bukti yang ada jelas berdasarkan pemeriksaan klinikal dan bedah siasat. Kecederaan pada dada kanan mangsa boleh disebabkan benda tumpul, keras, lebar dan sedikit kasar dan boleh jadi bahu jalan, objek hadangan atau mana-mana objek yang ada di tempat kejadian," katanya.

Saksi itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman Wahab pada hari ke-34 prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Dalam keterangannya sebelum ini, Dr Ahmad Hafizam memberitahu beliau telah menjalankan eksperimen berhubung punca kecederaan Muhammad Adib bagi menyangkal teori yang dibentangkan oleh saksi ke-29, bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Menurut keterangan Dr Shahrom, kecederaan pada dada Muhammad Adib berkemungkinan disebabkan hentaman pintu van EMRS.

Dr Ahmad Hafizam yang dipanggil semula memberi keterangan, bagaimanapun berkata beliau tidak dapat menjelaskan punca sebenar yang menyebabkan kecederaan mangsa melainkan beliau berada di sisi anggota bomba itu ketika meninggal dunia dan berada di tempat kejadian.

"Apa objek spesifik yang sebabkan lebam pada dada kanan mangsa saya tidak mampu jelaskannya sebab kita dalam keadaan 'blind', tidak ada saksi yang boleh bantu untuk kita sahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Kamaruzaman bahawa beliau sebagai pakar forensik memang dilatih untuk membuat hirisan lapis demi lapis pada kulit mayat ketika bedah siasat.

Beliau menjelaskan, sekiranya perkara itu dilakukan ia akan mencacatkan mayat.

"Kita seboleh-bolehnya cuba elakkan kerosakan pada mayat, tetapi saya memang ada siat tisu serta otot untuk melihat kesan lebam pada mayat mangsa," katanya.

Saksi itu turut menegaskan meskipun tidak menghiris setiap lapisan kulit mayat untuk mengesan kesan lebam, itu tidak bermakna beliau tidak melakukan pemeriksaan dengan teliti.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara.

Prosiding inkues bersambung esok pagi. - Bernama