‘Saya tidak akan buat bayaran RM42 juta, jika tahu itu akaun Najib’

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, selepas menghadiri prosiding perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, selepas menghadiri prosiding perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) tidak akan membuat pembayaran berjumlah RM42 juta ke dalam dua akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya tahu akaun bank itu milik bekas Perdana Menteri itu.

Pengarah Urusan IPSB, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman turut mengesahkan Najib tidak pernah menghubunginya berhubung pembayaran berjumlah RM27 juta dan RM5 juta pada 26 Dis 2014 serta RM10 juta pada 9 Februari 2015.

"Saya mengesahkan bahawa sekiranya saya tahu AmPrivate Banking-MY (nombor akaun 211202201880) adalah milik Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, saya tidak akan membuat pembayaran berjumlah RM27 juta,” katanya semasa membacakan penyataan saksinya.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata beliau juga tidak akan membuat pembayaran berjumlah RM5 juta ke akaun Najib bernombor 2112022011906 dan RM10 juta ke dalam akaun 211202201880 Najib atas alasan sama.

Beliau berkata IPSB tidak pernah membuat bayaran untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke akaun Najib dan tidak pasti samada bayaran itu untuk tujuan CSR.

"Borang remittance tersebut menyatakan bahawa tujuan pembayaran adalah untuk program CSR tetapi saya tidak boleh pastikan perkara itu. Saya tetap membuat bayaran tersebut ke akaun itu walaupun saya tidak pasti tujuan sebenar pembayaran ini kerana mengikut arahan Ung Su Ling (Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) ),” katanya pada hari ke-18 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas tujuh tuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dr Shamsul Anwar menjelaskan bahawa bayaran RM42 juta bertujuan untuk CSR adalah anggapannya dan beliau membuat anggapan itu kerana biasanya arahan daripada Ung Sun Ling adalah berkenaan program CSR.

"Saya mengesahkan bahawa saya tidak tahu siapa pemilik akaun AmPrivate Banking-MY. Walau bagaimanapun saya pernah meminta Puan Aishah Ghazali (bekas Eksekutif Akaun Kanan IPSB ) untuk membuat semakan pemilik akaun tersebut selepas pemindahan wang tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selepas Aishah Ghazali membuat semakan, dia memberitahu saya bahawa bank tidak boleh membuat semakan, dia memberitahu saya bahawa bank tidak boleh memaklumkan kepada pihak ketiga. Saya turut meminta Datuk Abdul Aziz Ismail (pengarah syarikat IPSB yang turut memegang jawatan sebagai Pengarah Kewangan IPSB) untuk menyemak pemilik akaun itu, namun beliau tidak memaklumkan hasil semakan beliau,” katanya.

Beliau mengesahkan bahawa semua borang remit diisi oleh Aishah Ghazali dan beliau serta Abdul Aziz akan menandatangani borang remit yang lengkap diisi oleh Aishah. Saksi itu menegaskan pemindahan RM42 juta dilakukan kerana beliau diarahkan oleh Ung Su Ling dan Dennis See (Pengarah Projek YR1M).

"Saya terpaksa mengikut arahan Ung Su Ling dan Dennis See kerana mereka merupakan pemberi dana kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata Ung dan Dennis mengarahkannya memindahkan dana itu ke dua akaun tersebut walaupun saya tidak tahu tahu siapa pemilik dana tersebut.

Katanya beliau cuma dimaklumkan oleh Ung bahawa duit telah masuk ke akaun IPSB dan beliau juga ada banyak kali bertanya Ung melalui telefon dan secara bersemuka tetapi Ung tidak memberitahu saya tentang sumber dana tersebut.

"Saya turut bertanya Dennis See perkara sama tetapi beliau memaklumkan bahawa saya tidak perlu tahu maklumat pemilik akaun itu,” katanya. Dr Shamsul Anwar menjelaskan beliau hanya mengetahui bahawa semua dana RM42 juta adalah milik SRC melalui Gandingan Mentari Sdn Bhd iaitu anak syarikat SRC apabila membaca artikel yang disiarkan dalam laman web Wall Street Journal ketika berada di Belgium antara 1 dan 2 Julai 2015.

Beliau berkata apabila pulang ke Malaysia, beliau menghubungi Nik Faisal Ariff Kamil (Pengarah SRC) untuk bertanyakan punca dana RM42 juta dan beliau mengesahkan bahawa SRC telah memindahkan wang itu ke akaun IPSB melalui Gandingan Mentari.

Bagaimanapun beliau tidak ingat tarikh beliau menghubungi Nik Faisal.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 28 Mei. - Bernama

Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman ketika keluar dari bilik saksi di pekarangan mahkamah pada prosiding perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman ketika keluar dari bilik saksi di pekarangan mahkamah pada prosiding perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama