Remaja lelaki didakwa sakitkan kucing, khianat bakar lori

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki berumur 14 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kesakitan terhadap seekor kucing dan melakukan khianat dengan membakar sebuah lori mengakibatkan kerugian RM6,000, minggu lepas.

Bagaimanapun, pelajar sekolah menengah itu mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A.Raof yang dijalankan secara tertutup kerana melibatkan kes juvana.

Hanya keluarga tertuduh dibenarkan masuk ke dalam mahkamah.

Mahkamah memerintahkan remaja itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan mental selama sebulan, selepas Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon supaya tertuduh dirujuk ke hospital itu untuk pemeriksaan kesihatan mental.

Mengikut pertuduhan pertama, remaja itu didakwa dengan kejam menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di tepi Jalan Lembah Maju 3/3, Taman Lembah Maju, Pandan Indah di sini pada 1.20 pagi hingga 2.35 pagi, 7 Mei lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan membakar sebuah lori jenis Daihatsu milik Maslia Yahaya, 39, sehingga menyebabkan kerugian bernilai lebih kurang RM6,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Raihanah ketika ditemui media selepas prosiding itu, memberitahu bahawa permohonan untuk merujuk remaja ke Hospital Bahagia dibuat mengikut Seksyen 342(5) Kanun Prosedur Jenayah.

“Dia akan dihantar ke hospital psikiatrik untuk pemerhatian bagi tempoh tidak melebihi satu bulan.

“Tiada jaminan ditawarkan setakat ini kerana memerlukan pemeriksaan mental tertuduh,” katanya sambil memaklumkan remaja itu tidak diwakili peguam dan tidak membuat rayuan.

Mahkamah menetapkan 12 Jun untuk sebutan semula kes. - Bernama