RM42 juta dalam akaun Najib untuk CSR

A
A

RM42 juta dalam akaun Najib untuk CSR

Sebanyak RM42 juta milik Syarikat Ihsan Perdana Sdn. Bhd. yang dipindahkan ke dalam dua akaun AmPrivate Banking-1MY milik Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2014 dan 2015 adalah bertujuan untuk jalankan program tanggungjawan sosial korporat (CSR).

Bekas Eksekutif Kanan Perakaunan di Ihsan Persana Sdn. Bhd., Aishah Ghazali berkata, pemindahan wang itu dilakukan dalam tiga transaksi melibatkan jumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.

Saksi pendakwaan ke-36 itu berkata, arahan untuk memindahkan wang tersebut diperoleh daripada Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman.

Kedua-dua akaun AmPrivate Banking-1MY itu telah sebelum ini disahkan milik bekas Perdana Menteri melalui keterangan saksi pendakwaan ke-21, Pengurus AmBank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC.

Talak PU Abu Sufyan terhadap isteri tidak sah

Kemelut rumahtangga pendakwah muda program realiti Pencetus Ummah, PU Abu Sufyan dan isterinya Ain 'Afini Latif menemui jalan nokhtah apabila Mahkamah Rendah Syariah Klang hari ini memutuskan lafaz talak yang dibuat oleh lelaki itu menerusi aplikasi Whatsapp pada 13 Mac lalu adalah tidak sah.

PU Abu atau nama sebenarnya Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi dalam sumpahnya mengaku tidak berniat untuk menceraikan Ain 'Afini pada ketika itu yang tertulis di dalam aplikasi itu sebagai.

Terdahulu, Abu Sufyan selaku defendan mengakui menghantar mesej tersebut kepada isterinya pada tarikh berkenaan.

Pada prosiding itu, Ain 'Afni yang menyambut ulangtahun kelahirannya hari ini maklumkan kepada mahkamah bahawa Abu Sufyan menerusi whatsapp memintanya menyelesaikan borang penceraian.

Sementara itu, Ain 'Afni yang dijangka melahirnya bayinya pada 10 Julai depan menangis teresak- esak sejurus mahkamah membuat keputusan tersebut.

Sebelum ini, Ain 'Afini menerusi laman sosialnya mendedahkan dia telah diceraikan Abu Sufyan selepas lelaki itu memilih untuk bernikah dengan seorang janda bernama Hana Azraa.

PDRM, jabatan agama bekerjasama kekang aktiviti Syiah

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan jabatan agama negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengekang aktiviti fahaman Syiah di dalam negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, aktiviti itu adalah tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, polis mempunyai maklumat berhubungan perkara itu dan percaya yakin dapat menangani dengan sebaiknya.

Tegasnya, apa sahaja aktiviti bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, polis akan pantau dan mengambil tindakan sewajarnya.

Terdahulu, tular dakwaan di media sosial Facebook yang menggunakan 'Who Is Hussain' bergerak dengan mengedar risalah berbaur Syiah di sekitar bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur.

Saksi inkues Adib guna van EMRS terang insiden kejadian

Inkues menyiasat kematian Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini melihat demonstrasi insiden yang berkemungkinan berlaku terhadap anggota bomba itu menggunakan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dibawa khas ke Mahkamah Shah Alam.

Van itu bagaimanapun bukan van sama dinaiki Allahyarham ketika kejadian pada 27 November tahun lepas.

Demonstrasi hampir setengah jam bermula pukul 10.30 pagi itu dilakukan oleh saksi ke-24, pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Demonstrasi berkenaan bertujuan mengukuhkan dapatan teori saksi itu yang menjelaskan mengenai kecederaan patah tulang rusuk yang dialami Muhammad Adib akibat dilanggar van EMRS ketika kejadian.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara.

Plat PNY 1 bernilai RM111, 000

Nombor pendaftaran kenderaan PNY 1 menjadi yang tertinggi dibida bagi siri PNY iaitu pada harga RM111, 000.

Menurut satu kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, bidaan itu dibuat orang ramai selepas pihaknya membuka tempahan bagi siri tersebut pada 17 April sehingga 2 Mei lalu.

Sementara itu, bagi nombor pendaftaran kategori biasa, PNY 4174 bernilai RM3,333.

Siri itu mendapat jumlah kutipan permohonan yang berjaya mencecah RM805,495.80 dan menjadikannya antara permohonan tertinggi di negeri ini iaitu 533 permohonan, manakala 239 bidaan berjaya.

Bagaimana pun keputusan tersebut akan diumumkan pada 21 Mei ini kepada pembida yang berjaya.