MOF tubuh Pejabat Pengurusan Hutang, berkuat kuasa serta-merta

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MoF) kini menubuhkan Pejabat Pengurusan Hutang (PPH) berkuat kuasa serta-merta, yang bertanggungjawab menyemak serta menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata PPH bertujuan mengawal hutang kerajaan agar tidak terus hilang kawalan di samping memastikan pinjaman hutang secara sesuka hati tanpa sebab munasabah tidak berulang.

“PPH adalah antara reformasi institusi yang akan memantapkan kedudukan fiskal kerajaan yang dilihat penting oleh syarikat penarafan kredit antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PPH akan memantau penerbitan hutang dan mencadangkan penstrukturan untuk dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan syarikat tujuan khas secara holistik.

PPH akan menjalankan langkah antaranya menjadualkan terbitan bon dan pinjaman kerajaan, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan secara teratur untuk memastikan kadar kupon dan faedah paling rendah, katanya.

Guan Eng berkata ia juga akan menstrukturkan semula bon dan pinjaman dengan kos pembiayaan dapat dikurangkan untuk menjimatkan peruntukan pembayaran balik hutang di samping merancang strategi untuk mengurangkan beban hutang kerajaan.

PPH akan dipengerusikan oleh Guan Eng selaku menteri kewangan dan pewujudannya telah dipersetujui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anggota PPH ialah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Artikel Berkaitan:

Selain itu Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Syed Zaid Albar; Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; Akauntan Negara Malaysia Datuk Saat Esa; Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri Dr Muhammad Abdul Khalid serta Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia Datuk Mohammad Faiz Azmi turut menganggotai PPH.

Guan Eng berkata PPH akan membolehkan strategi mengurangkan hutang negara dapat dirangka dan pelan tindakan dilaksanakan.

“Strategi dan pelan yang dirangka akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Fiskal yang dipengerusikan perdana menteri,” katanya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 tahun lepas, Guan Eng mengumumkan penubuhan PPH untuk menyemak dan menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan. - Bernama