X

Kindly register in order to view this article
!

Tarawih menyingkir dosa silam

Jangan lepaskan peluang bertarawih sepanjang bulan Ramadan kerana begitu besar ganjarannya. -FOTO: BERNAMA
A
A

HISYAM AHMAD bekerja dalam sektor swasta. Kerjayanya itu menuntut beliau bekerja secara syif.

Apabila tibanya bulan Ramadan, Hisyam, 28, berniat mahu melakukan solat tarawih berterusan tanpa satu hari yang tertinggal. Namun, kekangan kerjanya itu dilihat telah menjadi penghalang kepadanya meneruskan niat suci itu.

Benar, walaupun solat tarawih hanya solat sunat sahaja tetapi lelaki itu berasa sangat rugi jika beliau mengendahkannya begitu sahaja.

"Bukannya setiap hari solat tarawih ada tetapi sebulan sekali sahaja iaitu dalam bulan Ramadan. Tambahan pula, banyak pula kelebihan jika kita menunaikan solat tarawih ini," ceritanya dengan raut wajah penuh kekesalan.

Pernah terdetik, untuk mencuri masa melakukan solat tarawih di pejabat. Namun, beliau rasa serba salah.

"Jika saya berbuat demikian, saya akan akan lambat menghabiskan kerja-kerja hakiki. Hakikatnya, ia juga akan mengganggu kerja-kerja pekerja di jabatan lain juga," katanya.

Hisyam tidak berhenti bercerita. Ujarnya, sekitar pukul 3 pagi beliau akan sampai ke rumah dan pada waktu itulah masa yang terbaik untuk tidur. Kawan-kawannya sudah lama lena dibuai mimpi.

Fikirannya menerawang seketika dan kemudian bertanya.

"Adakah saya boleh menunaikan solat tarawih selepas habis bekerja? Adakah solat tarawih ada waktu-waktu tertentu?," soalnya bersungguh.

Waktu panjang

IMAM MUDA ARAN
IMAM MUDA ARAN

Soalan itu kemudian Sinar Islam panjangkan kepada pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran.

Jelas agamawan itu, waktu tarawih sebenarnya bermula daripada solat Isyak hinggalah sebelum Subuh.

Ini bermakna, katanya, tidak salah jika Hisyam mahu melakukan solat tarawih selepas beliau pulang daripada kerja meskipun pada lewat pagi.

Malah, jelasnya, sepanjang malam Ramadan merupakan waktu afdal tarawih. Bahkan, Rasulullah SAW dan para sahabat mengerjakan solat tarawih sepanjang malam dan hampir Subuh barulah mereka berhenti. Itulah istimewanya Ramadan.

"Paling penting, tarawih mesti kita mulakan selepas solat fardu Isyak. Tak boleh tunaikan solat tarawih selagi seseorang itu tidak menunaikan solat Isyak terlebih dahulu.

"Jika tidak, maka, tidak diterima amalannya (solat tarawih yang ditunaikan) itu. Mana boleh kita dahulukan yang sunat dulu tetapi kita tinggalkan yang wajib," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas tentang rakaat solat tarawih, Imam Muda Aran menjelaskan, ulama berselisih pendapat dalam hal ini kerana ada banyak riwayat.

Jelas beliau, Nabi Muhammad SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat solat tarawih yang perlu dilakukan.

"Cuma, jika hendak ikut cara Rasulullah SAW, baginda melakukan lapan rakaat solat tarawih. Ada ulama berpendapat, kalau kita hendak memperbanyakkan atau mengurangkan rakaat itu, ia bergantung kepada panjang atau pendeknya solat itu.

"Contohnya, ketika zaman Nabi Muhammad SAW, walaupun jumlah rakaat adalah pendek iaitu lapan rakaat tetapi baginda berdiri lama. Ketika itu, satu rakaat, boleh habis dalam tiga surah panjang iaitu Surah al-Baqarah, Ali 'Imran dan al-Nisa' iaitu lima juzuk al-Quran.

"Sementara itu, dalam mazhab Syafie, pendapat yang dipakai adalah solat tarawih 20 rakaat dan lapan rakaat," kata beliau.

Pohon keampunan

Jelas beliau, antara kelebihan solat tarawih ialah mengharapkan keampunan daripada ALLAH SWT.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu." (Riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam Muda Aran, hadis itu menggalakkan supaya umat Islam melakukan ibadah dalam bulan Ramadan termasuk mengerjakan solat tarawih pada waktu malam.

Istimewanya, pendakwah itu berkata, mereka yang melakukan solat tarawih secara berjemaah dan mengikut imam sehingga selesai solat akan memperoleh ganjaran seumpama seseorang itu menunaikan ibadah sepanjang malam!

"Pernahkah kita jumpa orang beribadah sepanjang malam? Mungkin tidak, bukan? Kebanyakan mereka akan tidur kerana penat bekerja dan sebagainya.

"Kepada mereka yang memang menunaikan solat Isyak di masjid atau surau, maka, teruslah mengikut imam melakukan solat tarawih.

"Untuk mendapatkan ganjaran seperti beribadah sepanjang malam, kita perlu mengikut imam sehingga beliau selesai solat. Katakan kita ikut imam solat tarawih sampai lapan rakaat, kemudian, imam bangun untuk sambung tiga rakaat solat witir tetapi kita tidak ikut, maka, kita tidak akan peroleh kelebihan tersebut," jelas beliau.

Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW, sabda baginda: "Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)." (Riwayat al-Tirmizi)

Imam Muda Aran turut menegur sikap segelintir jemaah yang kadangkala meninggalkan solat witir bersama imam. Kebanyakan mereka menggunakan alasan untuk bangun malam sekitar pukul 3 pagi dan kembali melakukan solat sunat.

"Ya, memang benar witir merupakan penutup kepada solat sunat. Dalam hal ini, sekiranya kita mengikut imam sehingga selesai solat witir, tiada masalah untuk kita bangun solat malam di rumah tetapi tidak perlu mengulang semula witir tersebut.

"Satu lagi cara, kita boleh ikut imam sepenuhnya ketika tarawih. Namun, ketika imam niat melakukan solat witir, kita kena ikut juga tetapi niatkan kita melakukan solat sunat dua rakaat. Bila imam beri salam pada solat witir satu rakaat, kita bangun tambah lagi satu rakaat bagi cukupkan dua rakaat dan satu salam," jelasnya.

Bagaimana kita hendak istiqamah dan kekal bertenaga melakukan tarawih? Dalam hal itu, agamawan tersebut berkongsi tip Nabi Muhammad SAW ketika berbuka.

Jelas beliau, dalam satu riwayat, pada 10 malam Ramadan yang terakhir, baginda SAW berbuka puasa dengan makanan yang sedikit. Makanan yang sepatutnya untuk berbuka puasa, baginda SAW bawa ke waktu sahur.

"Contohnya, makanan ruji kita adalah nasi. Sepatutnya kita buka puasa dengan makan nasi tetapi kita tangguhkan makan nasi ke waktu sahur seperti mana dilakukan baginda SAW," ujarnya.

Dalam pada itu, Imam Muda Aran turut mengingatkan kepada umat Islam agar berhati-hati dengan hadis palsu tentang perincian fadilat solat tarawih pada malam pertama hingga akhir Ramadan.

"Itu palsu dan Nabi Muhammad SAW tak pernah ajar atau sebut. Siapa yang mereka (hadis itu), tidak tahulah. Matlamatnya (fadilat itu disampaikan) baik untuk mengajak ajar orang buat tarawih tetapi caranya tak kena sebab ia hanya mengada-adakan. Bahaya itu.

"Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang Rasulullah tidak pernah cakap dan sebut, maka, bersedialah tempat di dalam neraka!," tegasnya.

Pengertian tarawih

IMAM MUDA FAKHRUL
IMAM MUDA FAKHRUL

Sementara itu, seorang lagi pendakwah, Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul berkata, tarawih sebenarnya berasal daripada perkataan tarwihah yang bermaksud kerehatan.

"Jika dilakukan dalam keadaan kelam-kabut dan memaksa diri, sudah hilang maksud sebenar tarawih," jelasnya.

Menurut agamawan itu, jika kita 'tersepit' dengan kekangan tugasan yang merupakan perkara sangat penting, maka, utamakanlah urusan kerja itu.

"Pada masa yang sama, solatlah tarawih seringkas yang mungkin (secara) bersendirian. Ini kerana Rasulullah SAW mengikut sirahnya, tidak sentiasa berjamaah tarawih di masjid. Ada waktunya, Nabi Muhammad SAW solat tarawih di rumah.

"Cadangan saya, jika terdesak antara tugasan dan tarawih dalam keadaan tugasan itu teramat penting, maka, lakukan tugasan tersebut dan carilah masa untuk turut bertarawih sama ada mencelah ketika tarawih atau setelah selesai tugasan.

"Jika tugasan boleh ditangguhkan, maka, tangguhkanlah kerana tarawih hanya ada di bulan Ramadan ini dan pahalanya tersangatlah besar," ujar beliau.

Kepada satu soalan, Imam Muda Fakhrul berkata: "Berniaga ketika solat tarawih hukumnya harus tetapi jika, kita fokus pada solat tarawih maka, ia adalah lebih baik," katanya mengulas tentang galakan Kerajaan Negeri Kelantan untuk menutup kedai makan ketika waktu tarawih.

Apapun, beliau mengucapkan tahniah kepada negeri itu kerana mengambil berat tentang ibadah rakyatnya walaupun pelbagai pihak mengeluarkan pandangan susulan tindakan mereka. "Saya difahamkan pekeliling tersebut telah di ubah daripada diwajibkan kepada digalakkan. Bagi saya, itulah yang terbaik kerana solat tarawih berbeza dengan solat Jumaat. Solat Jumaat adalah fardu dan ada pekeliling khas di dalam al-Quran.

"Sementara, solat tarawih merupakan solat sunat yang tergantung kepada situasi sesorang untuk melaksanakannya sama ada berjamaah atau tidak dan lapan rakaat atau 20 rakaat. Malah, waktunya juga luas jika hendak dibandingkan dengan solat Jumaat," ujarnya.

Imam Muda Fakhrul turut memberikan pandangannya tentang solat tarawih pada kadar sangat pantas yang dilakukan di sebuah masjid di Bandung, Indonesia bagi menggalakkan anak muda melakukan solat sunat itu.

"Bagi saya, alasannya adalah baik tetapi cara pelaksanaannya tidak menepati maksud tarawih itu sendiri.

"Tarawih bermaksud rehat. Bagaimana mungkin solat sebegitu suatu kerehatan? Ada banyak lagi cara untuk menarik golongan muda ke masjid selain dari bersolat cepat sehingga meninggalkan kewajipan-kewajipan di dalam solat seperti tamakninah dan khusyuk," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus