Ihsan Perdana terima geran RM40j setahun anjur Program CSR 1MDB

Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman ketika keluar dari bilik saksi di pekarangan mahkamah pada prosiding perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman ketika keluar dari bilik saksi di pekarangan mahkamah pada prosiding perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) menerima geran berjumlah RM40 juta setiap tahun untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Urusan IPSB, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman berkata, geran itu diterima daripada dua yayasan iaitu Yayasan 1MDB (Y1MDB) dan Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

“IPSB adalah sebuah syarikat yang berkonsepkan pelaksanaan CSR dan bukanlah syarikat yang berasaskan keuntungan, dana IPSB diperoleh daripada Y1MDB dan YR1M.

“Sejak IPSB ditubuhkan, Y1MDB telah memberi geran perbelanjaan tetap sebanyak RM20 juta setahun dan YR1M memberi geran perbelanjaan tetap sebanyak RM20 juta setahun sejak tahun 2011, secara keseluruhan IPSB menerima RM40 juta setiap tahun," katanya yang pernah menjadi Pengarah Eksekutif 1MDB Bahagian CSR pada Oktober 2010 dan Julai 2011.

Dr Shamsul Anwar, yang dilantik sebagai pengarah urusan pada 25 Julai 2011, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada hari ke-18 perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain beliau yang berperanan sebagai Pengarah Urusan IPSB, turut dilantik sebagai pengarah syarikat IPSB ialah Datuk Abdul Aziz Ismail yang turut memegang jawatan sebagai Pengarah Kewangan IPSB.

Saksi pendakwaan ke-37 itu menjelaskan geran yang diterima adalah untuk IPSB melaksanakan program CSR dan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5 juta digunakan bagi perbelanjaan operasi Ihsan Perdana setiap tahun.

“Y1MDB memberi dana sebanyak RM20 juta setahun untuk menganjurkan program CSR di kawasan Melayu yang dimenangi UMNO atau Barisan Nasional (BN) manakala YR1M memberi dana sebanyak RM20 juta untuk menganjurkan program CSR di kawasan Cina dan India yang dimenangi UMNO atau BN,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Shamsul Anwar berkata program CSR yang dijalankan dirancang oleh IPSB namun kumpulan sasaran ditentukan oleh anggota Parlimen BN atau ketua bahagian UMNO dan IPSB turut menyediakan Laporan Program Pelaksanaan setiap tahun.

Saksi itu turut mengesahkan bahawa IPSB mempunyai tiga akaun sahaja iaitu di Affin Bank Cawangan The Curve, Damansara.

Terdahulu, Dr Shamsul Anwar memberitahu IPSB dibentuk selepas Lembaga Pengarah 1MDB yang terdiri daripada Najib, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Datuk Shahrol Azral mencadangkan sebuah syarikat sendirian berhad ditubuhkan untuk mengambil alih kerja CSR daripada 1MDB supaya pelaksanaan program itu lebih terancang serta teratur.

“Cadangan untuk penubuhan sebuah Syarikat Sendirian Berhad timbul apabila Lembaga Pengarah 1MDB mendapati berlakunya percanggahan kepentingan iaitu syarikat 1MDB didapati tidak sesuai untuk menjalankan kerja CSR yang dianjurkan di bawah 1MDB.

“Saya tidak tahu mengapa Y1MDB tidak terus melaksanakan kerja CSR secara langsung. Setahu saya, Y1MDB boleh menjalankan kerja CSR secara terus tetapi Y1MDB tidak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan kerja CSR,” katanya.

Saksi itu berkata beliau kemudian mencari Syarikat Sendirian Berhad bertujuan melaksanakan program CSR tersebut dan seorang setiausaha sebuah syarikat mengesyorkan satu ‘shelf company’ iaitu Gem Horizon Sdn Bhd sebelum beliau diarah melepaskan jawatan di 1MDB untuk menubuhkan syarikat baharu itu.

Katanya, Gem Horizon kemudian menukar namanya kepada IPSB kerana nama asal didapati tidak sesuai untuk tujuan pelaksanaaan CSR.

Dr Shamsul Anwar memaklumkan bahawa matlamat penubuhan IPSB ialah untuk bertindak sebagai kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja CSR yang diarahkan Y1MDB dan YR1M.

Menurut Shamsul, beliau dan Abdul Aziz mula memegang saham IPSB sebanyak RM1 mulai 25 Julai 2011.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. - Bernama