Penjawat awam NS terima bonus setengah bulan gaji

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (kanan) menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal Zairihar Zainuddin pada Pelancaran Ibu Tunggal NS 2019 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (kanan) menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal Zairihar Zainuddin pada Pelancaran Ibu Tunggal NS 2019 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN – Penjawat awam Negeri Sembilan akan menerima bonus sempena Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sebanyak 3,481 penjawat awam negeri ini akan menerima manfaat tersebut, yang memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta.

“Dengan pemberian tersebut saya berharap kita dapat meringankan beban mereka, sekaligus dapat membantu melancarkan persiapan membeli kelengkapan raya nanti,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri di sini.

Tambahnya, pemberian insentif ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam di negeri ini, selain menaikkan semangat mereka untuk bekerja.

Sementara itu, Aminuddin turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan program Mantai Perdana yang akan diperluaskan ke seluruh daerah.

Katanya, jika sebelum ini Mantai Perdana hanya tertumpu di Paroi, Seremban tetapi pada kali ini pihaknya akan memperbanyakkan lagi lokasi bagi memudahkan orang ramai membeli barangan keperluan seperti daging, ayam, telur, sayur-sayuran, dan bahan mentah untuk persiapan raya nanti.

“Pada tahun ini Mantai Perdana akan ada di seluruh daerah tidak tertumpu di Paroi sahaja, di Seremban kita sediakan empat lokasi mantai yang akan menjual daging dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran.

Artikel Berkaitan:

“Tidak perlu lagi berebut-rebut untuk mendapatkan daging selepas ini kerana kita sediakan banyak lokasi nanti,”katanya.

Tambahnya,perkara lanjut mengenai program ini masih di peringkat perbincangan dan akan dimaklumkan kemudian setelah semuanya di muktamadkan nanti.