Ahmad Samsuri enggan ulas isu ‘kartel dedak’

Poster dimuat naik di laman sosial Zaharudin yang menafikan penglibatan Ahmad Samsuri dalam isu 'kartel dedak'.
Poster dimuat naik di laman sosial Zaharudin yang menafikan penglibatan Ahmad Samsuri dalam isu 'kartel dedak'.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Ketua Pengarah Pilihan raya Pas Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar enggan mengulas dan mengambil langkah ‘mengunci mulut’ berhubung isu ‘kartel dedak’ yang turut mengaitkan namanya menerusi sebuah poster yang didedahkan bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Zaharudin Muhammad di laman sosialnya, Isnin lalu.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi menghormati arahan dikeluarkan pucuk pimpinan parti semalam yang melarang ahlinya berbincang hal ehwal dalaman parti di dalam media.

“Saya akur dengan arahan Setiausaha Agung (Datuk Takiyuddin Hasan) bahawa perkara berkaitan hal ehwal parti tidak boleh diulas lagi buat masa ini dan saya percaya perkara ini (pendedahan Zaharudin) dalam tindakan Pas Pusat,” katanya.

Ditanya lanjut mengenai dakwaan yang didedahkan oleh ahli Pas itu, beliau yang juga Yang Dipertua (YDP) Pas Marang berkata, buat masa ini beliau tidak boleh membuat sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu.

“Saya nak nafi atau saya nak kata apa-apa, tunggu saya bercakap dengan pihak parti dulu sebab apabila Setiausaha Agung kita kata jangan bercakap dalam isu ini, saya tidak akan bercakap,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya lawan jika Pas sembunyi ‘kartel dedak’ bawah ‘karpet’'

Terdahulu, Zaharudin yang juga menantu kepada Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) menerusi laman sosial Facebooknya mendedahkan wujudnya 'kartel dedak', dipercayai merujuk kepada kumpulan dalam Pas yang didakwa menerima dana daripada pihak tertentu.

Dalam status terbaharu, beliau menafikan penglibatan Ahmad Samsuri dan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan merujuk poster yang memaparkan wajah lima individu yang dikaitkan dengan ‘kartel dedak’.

Artikel Berkaitan:

Zaharudin sebaliknya menyalahkan Amanah dalam penyebaran gambar poster kelima-lima individu yang dikaitkan dengan dakwaan terlibat dalam penerimaan sejumlah besar wang atau dana daripada UMNO itu.