Jawatankuasa khas siasat kawasan ternakan babi haram di PD

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kewujudan sebuah kawasan ternakan babi yang beroperasi secara haram di Port Dickson.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kegiatan tersebut dipercayai bermula secara kecil-kecilan sejak tahun 2004, namun tiada tindakan pernah diambil sebelum ini.

"Ada satu tempat (ternakan babi) di Kampung Baru Site A di Port Dickson, bilangan haiwan tak besar tapi kita boleh kawal. Kita akan meminta jawatankuasa khas yang ditubuh memantau dan membuat perbincangan secara bersama sebelum tindakan lanjut dilakukan.

"Kita juga lihat ada beberapa tempat penyembelihan haram yang tidak diluluskan pun, namun kita akan tangani masalah ini secara harmoni, biar jawatankuasa khas lakukan tugas mereka dan kemudian melaporkan kepada kerajaan negeri apa tindakan yang perlu dilakukan selepas itu," katanya pada sidang media di Wisma Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar kelmarin berkenaan pencemaran sungai di Kampung Baru Site C, Port Dickson yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti ternakan dan penyembelihan babi dan katak yang dikesan di kawasan berkenaan pada 31 Mac lalu.

Menurutnya, jawatankuasa khas disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran Port Dickson itu diketuai Exco bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Pencemaran yang berlaku tidak serius malah tidak membabitkan sungai sekitar Port Dickson kerana airnya mengalir ke tempat lain bukan di pantai PD.

"Kita berharap industri pelancongan di Port Dickson tidak terjejas kerana pencemaran yang berlaku itu jauh dari pantai PD," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin berkata, pihaknya melakukan tindakan awal bagi mengelak ia merebak, sekali gus memantau secara berterusan supaya masalah sama tidak berulang.

Sebelum ini, kerajaan negeri melarang penternakan babi selepas ratusan penduduk di Bukit Pelanduk meninggal dunia ekoran wabak Japanese Encephalitis (JE) yang berlaku pada 1998.