LZNK salur bantuan kepada Firdaus Hong

Laporan Sinar Harian pada 11 Mei lepas.
Laporan Sinar Harian pada 11 Mei lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan menyalurkan bantuan pendidikan kepada Mohd Firdaus Hong Abdullah,12, dari Pekan Tunjang, di sini, bermula bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, kisah Firdaus Hong agak unik memandangkan dia mendapat hidayah memeluk Islam ketika masih kecil, namun ibu bapanya beragama lain.

Katanya, bapa Firdaus Hong merupakan orang Cina dan ibunya merupakan orang Siam memberi sokongan luar biasa kepada anak lelaki mereka yang beragama Islam.

"Malah, mereka amat menjaga adab tatatusila dan berjanji akan menjadikan anak lelaki mereka sebagai seorang Islam dan Muslim yang baik.

"Kita mendapati pasangan suami isteri itu sanggup menghantar Firdaus Hong untuk Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) pada Jumaat dan Sabtu," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media Majlis Penyerahan Pembayaran Agihan Balik Zakat Sekolah Seluruh Kedah di Maktab Mahmud Alor Setar, di sini, hari ini.

Dari kiri, Syeikh Zakaria, Syeikh Fadzil dan Mohd Syauqi pada sidang media Majlis Penyerahan Pembayaran Agihan Balik Zakat Sekolah Seluruh Kedah di Maktab Mahmud Alor Setar, di sini, hari ini.
Dari kiri, Syeikh Zakaria, Syeikh Fadzil dan Mohd Syauqi pada sidang media Majlis Penyerahan Pembayaran Agihan Balik Zakat Sekolah Seluruh Kedah di Maktab Mahmud Alor Setar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang dan Ketua Unit Dakwah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Mohd Syauqi Ismail.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Firdaus yang fasih dalam pelbagai bahasa, seperti Cina dan Siam dan mampu membaca al-Quran dilihat berpotensi mampu menjadi ikon kepada pelajar lain apabila kemahiran ditingkatkan.

"Sehubungan itu, kita telah berbincang dengan waris untuk membantu Firdaus Hong dengan menyediakan bantuan pendidikan sebanyak RM100 sebulan untuk dirinya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah kekok kejut anak bangun sahur

Menurut Syeikh Zakaria, pihaknya turut menyalurkan bantuan raya kepada pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, di sini demi membolehkannya menyambut Aidilfitri seperti orang lain tahun ini.

"Alhamdulillah, ibu bapanya nampak seronok apabila kita berbincang dan berhasrat memasukkan Firdaus Hong ke dalam Sekolah zakat Kedah, Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim yang dibiayai sepenuhnya LZNK," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kisah Firdaus Hong yang tidak mendapat halangan daripada ibu bapanya, Lim Hun Kheng, 44, dan Wan Dee Fandesa,41, untuk memeluk Islam pada usia 11 tahun.

Walaupun berbeza agama, namun pasangan terbabit tidak pernah kekok meneruskan rutin mengejutkan anak lelaki mereka untuk bangun sahur dan menyediakan menu kegemaran Firdaus kira-kira jam 5 pagi setiap hari.